Maszlee hasrat tandingi Ketua Bahagian Bersatu Simpang Renggam

Maszlee Malik - Foto Bernama
Maszlee Malik - Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berhasrat bertanding merebut jawatan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Simpang Renggam apabila dilihat menyerahkan borang pencalonan hari ini.

Maszlee yang selesai menyerahkan borang di Pejabat Bersatu Bahagian Simpang Renggam, kira-kira jam 10.15 pagi ini bagaimanapun, enggan memberikan sebarang komen kepada pemberita berhubung hasratnya itu.

Turut dilihat menyerahkan borang pencalonan bagi merebut jawatan sama pada jam 9.30 pagi ini adalah Ketua Penaja Bahagian, Ahmad Ahem, 62 tahun.

Ahmad, yang berkecimpung dalam politik sejak berumur lingkungan 20-an berkata, walaupun terpaksa berhadapan dengan bekas Menteri Pendidikan itu, beliau yakin ahli di peringkat akar umbi mengenali individu yang boleh memberikan perkhidmatan terbaik.

“Saya amat berharap mereka (ahli) akan dapat memilih calon yang benar-benar layak bukan atas kapasiti jawatan semata-mata,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan borang pencalonan di Pejabat Bersatu Bahagian Simpang Renggam di sini hari ini.

Ahmad dalam pada itu berkata, pemilihan parti akan membabitkan 997 ahli daripada 10 cawangan.

“Pemilihan ini turut diharapkan setiap ahli dapat melaksanakannya (memilih calon) dengan sebaik mungkin demi masa hadapan dan kebaikan parti ini,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: