Keropok beracun: Luluh hati nenek hilang dua cucu selang dua hari
KULIM - [DIKEMAS KINI] Luluh hati seorang nenek apabila kehilangan dua cucu dalam tempoh dua hari selepas mereka makan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di Kulim, Kedah pada Ahad.
Selepas Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Rabu lepas, kini adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, pula menyusul pergi mengadap Ilahi pada Jumaat.
Saadiah Yaacob, 62, berkata, dia sebelum ini berdoa tanpa henti supaya dua cucunya kembali sihat selepas berlaku kejadian tersebut.
Bagaimanapun, katanya, dia terpaksa menerima kenyataan dan reda apabila dua beradik itu pergi jua meninggalkan mereka sekeluarga.
"Masih terngiang lagi keletah dua cucu, yang kedua-duanya saya jaga sejak lahir dan kini mereka sudah tiada.
"Memang saya sedih sangat-sangat," katanya ketika dihubungi pemberita pada Jumaat.
Katanya, dia amat menyayangi dua cucunya itu dan tidak menyangka mereka akan pergi sekelip mata.
"Sebelum ini, mak cik sanggup bermalam di HPP untuk mengetahui perkembangan dua cucu dan tidak menyangka mereka akan pergi buat selamanya," katanya.
Saadiah memberitahu, jenazah Muhammad Luth akan dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Padang Ubi terlebih dahulu untuk penghormatan terakhir keluarga sebelum dibawa ke Kampung Banggol Berangan, Baling untuk dikebumikan.
Menurutnya, jenazah Muhammad Luth akan dikebumikan berhampiran abangnya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan.
Sebelum ini, media melaporkan dua kanak-kanak terbabit kritikal selepas termakan keropok disyaki bercampur racun yang digantung di pagar dawai besi dekat kebun tidak jauh dari rumah mereka.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!