Agong titah rakyat Malaysia jaga keselamatan, kesihatan diri

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan rakyat Malaysia agar memberikan keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan diri susulan wabak koronavirus yang melanda beberapa negara termasuk Malaysia ketika ini.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang menzahirkan kebimbangan berikutan pengesanan empat kes koronavirus di Malaysia sehingga semalam, bertitah seluruh rakyat perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan terutama sekali bagi mereka yang menetap atau mengembara di kawasan terjejas dengan wabak itu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka berdua menyeru rakyat untuk mengambil inisiatif bagi memahami wabak ini dengan lebih mendalam serta sentiasa mengikuti nasihat dan saranan langkah-langkah pencegahan sepertimana yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ini termasuk sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan serta sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung,” katanya dalam satu kenyataan Istana Negara hari ini.

Beliau berkata, Seri Paduka berdua turut menitahkan orang ramai untuk mengikuti perkembangan terkini wabak itu dengan membaca pelbagai maklumat yang disebarkan melalui mana-mana saluran rasmi KKM.

Al-Sultan Abdullah turut menasihati semua rakyat sentiasa merujuk kepada panduan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar Negeri Malaysia mengenai keputusan terbaharu pihak berkuasa Republik Rakyat China pada 23 Januari 2020 untuk melanjutkan penggantungan perjalanan keluar ke tujuh bandar lain di samping Wuhan di wilayah Hubei.

Bandar-bandar itu adalah Huanggang, Ezhou, Chibi, Xiantao, Qianjiang, Zhijiang dan Lichuan.

Setakat ini, KKM mengesahkan empat warga China yang memasuki Malaysia melalui Johor dari Singapura disahkan positif koronavirus.

Artikel Berkaitan:

Seri Paduka berdua turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas tindakan segera dan pemantauan yang berterusan oleh KKM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Singapura dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dalam usaha memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berkesan.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Luar Negeri khususnya Kedutaan Besar Malaysia di Beijing yang telah menubuhkan Pasukan Respons Kecemasan untuk menjangkau rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas dan misi diplomatik Malaysia yang lain di Guangzhou, Hong Kong, Kunming, Nanning, Shanghai dan Xi'an serta Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar Pasukan Bertindak Pantas (RRT) dan Pasukan Penilaian Pantas (RAT) negara dimantapkan dan diperkuatkan untuk menjalankan aktiviti pengesanan kontak dan penyaringan penumpang antarabangsa di lapangan-lapangan terbang Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Seri Paduka berdua amat kesal atas tindakan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan palsu, yang kemudiannya ditularkan oleh segelintir pihak lain tanpa usul periksa.

Ahmad Fadil menegaskan Seri Paduka berdua berharap setiap rakyat Malaysia akan memainkan peranan untuk tidak mencetuskan rasa cemas atau mengganggu ketenteraman dalam kalangan rakyat jelata dengan menyebarkan sebarang maklumat yang belum dipastikan kesahihannya atau yang boleh mencetuskan kontroversi.

“Seri Paduka Baginda berdua menggesa semua rakyat memberikan kerjasama penuh kepada warga Kementerian Kesihatan dan mengelak daripada melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu perjalanan kerja mana-mana petugas kesihatan," katanya. - Bernama