Sorok lebih 300 liter petrol dalam reban ayam

KPDN Kelantan dan PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor merampas 375 liter petrol dalam serbuan di Kampung Geting pada Rabu. Foto KPDN Kelantan
KPDN Kelantan dan PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor merampas 375 liter petrol dalam serbuan di Kampung Geting pada Rabu. Foto KPDN Kelantan
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor merampas 375 liter petrol dalam serbuan di Kampung Geting pada Rabu.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, kesemua bahan api berkenaan disembunyikan di dalam reban ayam di satu kawasan perkuburan di kampung berkenaan dalam serbuan kira-kira jam 9 pagi.

Beliau berkata, risikan yang dijalankan pasukannya mengesan berlaku kegiatan pemindahan petrol dari sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback ke beberapa tong plastik di lokasi persembunyian.

"Bagaimanapun, ketika serbuan dilakukan pemilik kereta berjaya melarikan diri kerana dapat menghidu lebih awal kedatangan pihak KPDN bersama polis marin,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Azman berkata, pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar menemukan beberapa tong berisi petrol disembunyikan di dalam reban ayam selain sejumlah petrol di dalam tangki ubah suai pada kereta berkenaan.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati lokasi itu dipercayai dijadikan transit sementara sebelum tong-tong berisi petrol itu diseludup keluar ke Thailand.

Katanya, petrol yang berjaya dirampas adalah sebanyak 375 liter dan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM5,600 termasuk kenderaan.

"KPDN percaya lokasi ini disyaki sebagai tempat pemunggahan serta pemindahan barang kawalan iaitu petrol dan diesel untuk tujuan penyelewengan ke negara jiran melalui pangkalan haram atau tebing sungai di sempadan Malaysia-Thailand.

Artikel Berkaitan:

"KPDN menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berkaitan dengan penyeludupan bahan api dalam radius 50 kilometer dari sempadan negara,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!