Zon bebas cukai Rantau Panjang, Pengkalan Kubor pindah ke lokasi lebih strategik

Pintu masuk di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang.
Pintu masuk di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan bercadang untuk memindahkan dua lokasi beli-belah popular di negeri ini Zon Bebas Cukai Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor ke lokasi yang lebih strategik.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, usaha itu termasuk dalam rancangan menaik taraf kedua-dua kawasan bebas cukai itu agar lebih sistematik.

Menurutnya, ketika ini, kedudukan tempat beli-belah bebas cukai Rantau Panjang di Pasir Mas dan Pengkalan Kubor di Tumpat itu berada dalam kawasan tempat tinggal penduduk dan ia perlu diubah.

“Kami akan menaik taraf dan memindahkan lokasi bebas cukai di luar daripada kawasan yang ada sekarang.

“Sekarang ini, ia dikelilingi rumah penduduk dan tidak begitu baik maka kita akan buat di tempat yang baharu tetapi masih lagi berdekatan dengan sempadan serta dalam proses mengenal pasti lokasi yang bersesuaian,” katanya ketika ditemui pemberita di Jamuan Berbuka Puasa Bersama Media Perdana Kota Bharu pada Khamis.

Kamarudin (dua dari kanan) diiringi Mohd Iqmal melihat juadah berbuka puasa di Perdana Kota Bharu.
Kamarudin (dua dari kanan) diiringi Mohd Iqmal melihat juadah berbuka puasa di Perdana Kota Bharu.

Turut hadir, Pengurus Besar Perdana Kota Bharu, Mohd Iqmal Muslim.

Kamarudin mengulas lanjut, kawasan bebas cukai tersebut akan dibuat dengan lebih teratur dengan bangunan yang sesuai sekali gus membantu merancakkan ekonomi peniaga.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kata beliau, turut akan dilakukan ialah menghidupkan kembali perkhidmatan kereta api ke Rantau Panjang di bawah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“KTMB yang merancang perkara itu dan sudah memaklumkan kepada saya, kita tunggu KTM umumkan.

“Selepas ini, mereka yang menaiki kereta api dari Kuala Lumpur boleh ke Pasir Mas dan terus ke Rantau Panjang,” katanya.