Empat sekeluarga sesat di Gunung Lambak ditemui selamat

Anggota bomba membantu membawa mangsa yang sesat turun ke kaki Gunung Lambak malam tadi. Foto: Ihsan Bomba
Anggota bomba membantu membawa mangsa yang sesat turun ke kaki Gunung Lambak malam tadi. Foto: Ihsan Bomba
A
A
A

KLUANG - Empat sekeluarga ditemui selamat selepas dipercayai sesat dan hilang selepas terpisah dengan ahli kumpulan pendaki lain di Gunung Lambak di sini malam tadi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Badrulhisyam Loi Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada jam 7.23 malam.

Menurutnya, tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kluang dikejarkan ke Gunung Lambak bagi operasi mencari dan menyelamat mangsa.

"Kesemua empat mangsa yang hilang itu ditemui selamat pada jam 8.24 malam di ketinggian 1,200 kaki.

"Mereka terdiri daripada seorang perempuan dan tiga lelaki berusia 17 hingga 42 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Badrulhisyam berkata, kesemua mangsa itu datang ke Gunung Lambak untuk mendaki gunung bersama empat lagi individu.

"Bagaimanapun empat individu berkenaan selamat turun ke kaki gunung sebelum menyedari kesemua mangsa hilang.

"Ketika ditemui kesemua mangsa berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami kecederaan," katanya.

Artikel Berkaitan: