Koronavirus: Singapura sahkan kes import keempat

Singapura mengesahkan kes import keempat jangkitan koronavirus Wuhan di republik itu. -Foto AFP
Singapura mengesahkan kes import keempat jangkitan koronavirus Wuhan di republik itu. -Foto AFP
A
A
A

SINGAPURA - Singapura mengesahkan kes import keempat jangkitan koronavirus Wuhan di republik itu.

Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dalam kenyataan berkata, kes keempat yang disahkan itu melibatkan seorang lelaki warga China berumur 36 tahun dari Wuhan yang tiba bersama keluarganya di Singapura pada 22 Januari.

Menurut MOH, beliau ketika ini dirawat di wad isolasi Sengkang General Hospital (SKH) dan keadaannya stabil.

Katanya, beliau dilaporkan asimptomatik semasa penerbangan ke Singapura.

"Beliau mengalami batuk pada 23 Januari dan mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan SKH pada hari berikutnya.

“Beliau disyaki dijangkiti virus itu dan segera diasingkan,” kata kenyataan itu.

MOH berkata, keputusan ujian berikutnya mengesahkan jangkitan koronavirus pada 9.30 malam, 25 Januari.

"Sebelum dimasukkan ke hospital lelaki itu tinggal di Village Hotel Sentosa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia telah memulakan penyiasatan epidemiologi dan pengesanan sentuh bagi mengenal pasti mereka yang mempunyai kontak rapat dengan lelaki itu.

"Kes pertama jangkitan virus itu diumum pada 23 Januari dan dua lagi pada hari berikutnya," katanya. - Bernama