X

Kindly register in order to view this article
!

Suspek koronavirus dirawat di HSA

Gambar hiasan.
A
A

JOHOR BAHRU - Pelancong warga China berusia dua tahun yang juga suspek koronavirus kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas ditahan ketika cuba menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini hari ini.

Difahamkan, ia juga berikutan keengganan ibu bapa kanak-kanak itu untuk membawa anak lelakinya dikuarantin di Hospital Permai.

Menurut satu laporan polis dibuat doktor yang merawat kanak-kanak berkenaan, suspek bersama ibu bapanya turut meninggalkan kuarantin di HSA tanpa kebenaran sah pihak hospital.

Katanya, kanak-kanak itu pada mulanya ditahan kerana menunjukkan simptom wabak berkenaan selepas demam panas dan batuk berterusan sejak tiba di negara ini.

“Pesakit datang ke HSA atas surat rujukan Hospital Columbia Asia yang kini suratnya bersama ibu bapanya. Mengikut surat tersebut pesakit mempunyai demam batuk dan telah mengalami demam kejung yang tidak diakui oleh ibu bapanya.

“Tetapi mengikut pemeriksaan saya mengesahkan pesakit mempunyai demam virus yang disuspek koronavirus. Saya bersama pakar kanak-kanak telah memberitahu ibu bapa pesakit yang mana pesakit harus dipindahkan ke Hospital Permai untuk dikuarantin.

“Tetapi bapanya tidak mahu memasukkannya ke Hospital Permai atas sebab mereka mempunyai tiket penerbangan ke China pada 25 Januari jam 10 pagi,” katanya menerusi laporan polis berkenaan.

Menurut laporan berkenaan, ibu bapa kanak-kanak itu juga enggan mendengar nasihat pihak doktor selain mahu memberikan anaknya rawatan dengan sendiri.

“Bapa pesakit tidak mahu mendengar dan ingin anaknya dirawat dengan ubat dan batuk sahaja. Tujuan laporan polis ini dibuat adalah untuk rujukan pihak berkenaan supaya pesakit tidak dilepas pandang kerana mereka keluar daripada hospital tanpa mendapat surat kebenaran,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Supritendan Mohd Afzanizam Yahaya ketika dihubungi mengesahkan laporan polis berkenaan.

“Ya. Saya sahkan laporan. Pihak polis dah tahan di LTAS dan akan menerima rawatan di HSA,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus