X

Kindly register in order to view this article
!

JBPM sasar penurunan 20 peratus kes

Mohammad Hamdan (dua dari kanan) melancarkan gimik perasmian Ops Tahun Baru Cina di R&R Dengkil di sini hari ini.
A
A

DENGKIL - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan penurunan kes sebanyak 20 peratus dalam Ops Perayaan Tahun Baru Cina tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, sasaran itu termasuklah semua kategori kes seperti panggilan kebakaran, panggilan penyelamatan dan panggilan kemalangan jalan raya.

Menurutnya, tahun lalu jabatan itu berjaya merekodkan penurunan kes sebanyak 16 peratus bagi operasi yang sama.

"Kita tengok (statistik) tahun lalu jumlah kes menurun kira-kira 16 peratus. Jadi sasaran kita tahun ini sekurang-kurangnya 20 peratus.

"Tahun ini juga, kita turut menempatkan pasukan Emergency Response Team (ERT) di 15 lokasi di seluruh negara melibatkan 150 pegawai dan anggota.

"Tujuan ia dilaksanakan adalah bagi memastikan kerja-kerja menyelamat dan memberi bantuan dapat dilakukan dengan lebih cepat memandangkan pada musim perayaan ini jumlah kenderaan bertambah berbanding hari biasa," katanya pada sidang media selepas melancarkan Ops Tahun Baru Cina 2020 di Kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Dengkil di sini hari ini.

Mohamad Hamdan berkata, selain menempatkan pasukan khas di 15 lokasi sepanjang tempoh operasi yang bermula 18 Januari sehingga 2 Februari itu, pihaknya turut membekukan cuti hampir 80 peratus pegawai dan anggota di seluruh negara.

"Sepanjang musim perayaan ini juga, seramai 11,000 pegawai dan anggota di 315 balai seluruh negara turut bertugas secara bergilir-gilir bagi melancarkan operasi membantu dan menyelamat," katanya.

Sementara itu, selain memberi tumpuan di jalan raya, JBPM turut memantau keselamatan orang awam di kawasan rekreasi air bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

"Terdapat 15 kawasan berisiko tinggi dan 39 berisiko sederhana berlakunya kemalangan di air di seluruh negara.

"Jadi, kita berikan tumpuan dan pemantauan di kawasan tersebut memandangkan ia menjadi tumpuan pada musim cuti perayaan ini," katanya.