PDRM kutip RM42 juta bayaran saman online

Azisman (kanan) dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.
Azisman (kanan) dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih RM42 juta kutipan bayaran saman diperoleh dalam tempoh lima hari selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan diskaun 50 peratus bagi pembayaran saman secara dalam talian bermula pada 18 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, sebanyak 402,714 saman berjaya dilunaskan dalam tempoh tersebut.

"Bagi hari pertama pelaksanaan, sebanyak 77,252 saman diselesaikan dengan kutipan kompaun mencecah RM8.09 juta, hari kedua sebanyak 58,101 saman dengan kutipan RM6.04 juta dan hari ketiga, sebanyak 98,925 saman membabitkan kutipan RM10.33 juta.

"Seterusnya, hari keempat pula merekodkan 97,632 saman dengan kutipan RM10.24 juta dan hari terakhir pelaksanaan pula mencatatkan sebanyak 70,804 saman dengan bayaran RM7.37 juta," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan saman yang dilunaskan itu, tiga kesalahan saman trafik yang tertinggi ialah kesalahan memandu melebihi had laju iaitu 64.8 peratus diikuti kesalahan arahan tidak mematuhi papan tanda (20.1 peratus) serta lesen memandu (3.6 peratus).

Katanya, purata pembayaran saman secara dalam talian itu adalah sebanyak 80,542 sehari dan sepanjang tempoh itu juga, JSPT merekodkan sebanyak 1,712 saman bernilai RM171,420 yang dibayar oleh pesalah trafik membabitkan warga Singapura.

Tambah Azisman, pihaknya juga mengesahkan lebih 57 juta saman masih belum dijelaskan bagi tempoh 10 tahun sejak 2009.

Sementara itu, sehingga tempoh hari keenam sejak pelaksanaan Op Selamat 16 sempena Tahun Baharu Cina pada 18 Januari lalu, merekodkan 10,323 jumlah kemalangan melibatkan 86 kematian.

Artikel Berkaitan:

"Terbabas sendiri mencatatkan jumlah kematian paling tinggi setakat tempoh ini iaitu 31 orang, diikuti kes masuk laluan bertentangan (12) dan cuai ketika keluar masuk simpang (10)," katanya.