Warga Myanmar ditemui mati dibunuh

Anggota forensik melakukan siasatan di lokasi mayat ditemui.
Anggota forensik melakukan siasatan di lokasi mayat ditemui.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dengan kesan tetak di dahi dan tikaman di pipi dalam kejadian di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Maklom di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mayat lelaki berusia 36 tahun itu yang berlumuran darah ditemui ditutup dengan kanvas oleh majikannya ketika dia mahu membuka bengkel pada jam 9.30 pagi tadi sebelum melaporkannya kepada polis.

Menurutnya, mangsa bekerja di bengkel berkenaan sejak tujuh bulan lalu bersama dua lagi pekerja warga Myanmar dan mereka tinggal di dalam kontena yang disediakan oleh majikan di dalam bengkel terbabit.

"Kita percaya dua lagi rakan sekerja mangsa terlibat dengan pembunuhan ini berikutan mereka telah melarikan diri.

"Pemeriksaan di sekitar kejadian mendapati terdapat serpihan kaca botol minuman keras dan mangsa mungkin ditikam dengan menggunakan botol kaca ketika pergaduhan berlaku di antara mereka," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Noorzainy berkata, pihaknya telah mengenal pasti identiti dua suspek berkenaan dan kedua-dua mereka merupakan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, pihaknya menggunakan anjing pengesan (K-9) untuk menjejaki suspek dan senjata yang digunakan mereka untuk membunuh mangsa.

Katanya, polis kini sedang giat memburu kedua-dua suspek dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel Berkaitan: