Apa rahsia pertemuan Tun M, Sultan Johor?

tunn
A
A

KULAI - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pertemuannya bersama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar membincangkan masalah dihadapi negara.

Menurutnya, beliau bersama baginda Tuanku turut saling bertukar pandangan dalam pertemuan tersebut.

“Bincang masalah yang kita hadapi, dan kita ada saling bertukar pandangan.

“Saya cerita berkenaan dengan pandangan rakyat, dan dia terima baik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Senai Business Aviation Terminal di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, beliau dan Sultan Johor juga bersetuju untuk terus saling bertemu dan berhubung pada masa akan datang.

“Kita bersetuju supaya di masa hadapan, kalau ada masalah saya boleh jumpa dengan Tuanku,” katanya.

Ditanya mengenai reaksi Sultan Johor dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira sejam itu, beliau berkata, semuanya berlaku seperti biasa.

“Kita bercakap macam normal, macam biasa. Macam-macam masalah, tak payah saya jelaslah. Itu antara dia dengan saya,” katanya.

Menjawab soalan pemberita sama ada pertemuan tersebut turut menyentuh mengenai Yang Di-Pertuan Agong, Dr Mahathir berkata, perkara itu melibatkan soal raja-raja dan tiada kaitan dengannya.

Katanya, dalam pertemuan itu, beliau dan Sultan Johor juga bersetuju untuk saling bercakap secara terus terang.

“Kita bersetuju supaya kita cakap terus terang. Tak ada sembunyi-sembunyi.

“Dia bagi dia punya pandangan, saya bagi saya punya pandangan,” katanya.

Dr Mahathir juga mengesahkan pertemuan itu tidak menyentuh perihal pentadbiran Kerajaan Johor dan kepimpinan.