Koronavirus: Darurat hanya di China bukan di dunia, kata WHO

Seorang pesakit dirawat di sebuah hospital di Wuhan, China.
Seorang pesakit dirawat di sebuah hospital di Wuhan, China.
A
A
A

GENEVA - China mengasingkan hampir 20 juta penduduk di Wuhan dan bandar berhampiran semalam, tetapi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, wabak itu masih tidak boleh dianggap darurat kesihatan dunia.

Virus pernafasan itu sudah membunuh 28 orang sejak tercetus dari sebuah pasar haiwan dan makanan laut di Wuhan menjangkiti ratusan orang dan sudah tersebar sehingga ke Amerika Syarikat.

Virus itu mencetuskan kebimbangan dunia kerana sifatnya hampir serupa dengan SARS Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang membunuh hampir 650 orang di China dan Hong Kong pada 2002 dan 2003.

Tetapi, selepas dua hari mesyuarat bagi menentukan tahap bahayanya, WHO semalam mengisytiharkan ia masih belum boleh dianggap sebagai darurat dunia, label yang digunakan untuk wabak rentas negara penyakit merbahaya.

“Ini adalah darurat di China, tetapi ia belum menjadi darurat dunia,” kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada wartawan di Geneva.

WHO menangguhkan keputusan itu sehari selepas China mengumumkan langkah ketat untuk mengekang penyebaran wabak itu.

China sudah mengasingkan hampir 20 juta penduduk Wuhan dan bandar lain dan mengumumkan langkah pengekangan wabak menjelang perayaan Tahun Baharu China yang menyaksikan jutaan rakyatnya melakukan perjalanan seluruh negara.

Dalam perkembangan berkaitan, bilangan kes koronavirus di China melonjak kepada 830 kes.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Kesihatan Nasional berkata, jumlah kematian disemak semula berikutan berlakunya lapan kematian baharu pada semalam dan 259 kes baharu dilaporkan berlaku di seluruh negara.

Tambahnya, daripada 830 kes yang disahkan itu, 177 mangsa berada dalam keadaan serius.

Manakala seramai 34 pesakit dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar daripada hospital. - AFP