Bocor dokumen sulit kerajaan: Pengasas WikiLeaks Julian Assange dibebaskan dalam perjanjian dengan AS

Julian Assange telah bersetuju untuk mengaku bersalah atas tuduhan jenayah berkaitan peranannya dalam satu aktiviti kebocoran dokumen sulit kerajaan Amerika Syarikat yang terbesar. Gambar fail
Julian Assange telah bersetuju untuk mengaku bersalah atas tuduhan jenayah berkaitan peranannya dalam satu aktiviti kebocoran dokumen sulit kerajaan Amerika Syarikat yang terbesar. Gambar fail
A
A
A

PENGASAS WikiLeaks, Julian Assange telah bersetuju untuk mengaku bersalah minggu ini atas tuduhan jenayah berkaitan peranannya dalam satu aktiviti kebocoran dokumen sulit kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang terbesar.

Assange, 52, bersetuju untuk mengaku bersalah atas satu pertuduhan jenayah kerana berkonspirasi untuk mendapatkan dan mendedahkan dokumen pertahanan negara AS yang sulit, menurut pemfailan di Mahkamah Daerah AS bagi Kepulauan Mariana Utara.

"Julian Assange bebas," kata WikiLeaks dalam hantaran di akaun X.

Pengakuan itu merupakan sebahagian daripada perjanjian dengan Jabatan Kehakiman yang akan membolehkannya mengelak daripada dipenjarakan di AS, menurut dokumen Mahkamah Persekutuan yang baru difailkan.

Di bawah syarat perjanjian baharu itu, pendakwaraya Jabatan Kehakiman akan memohon hukuman penjara selama 62 bulan - bersamaan dengan tempoh masa yang telah dijalani oleh Assange di penjara keselamatan tinggi di London sementara beliau berjuang menentang ekstradisi ke AS.

Perjanjian pengakuan bersalah itu akan menghitung masa yang telah dijalani, membolehkan Assange segera kembali ke Australia, negara asalnya.

Perjanjian pengakuan bersalah ini masih perlu diluluskan oleh seorang Hakim Persekutuan.

Assange menghadapi 18 pertuduhan daripada dakwaan tahun 2019 kerana peranannya yang didakwa dalam kebocoran tersebut yang membawa hukuman maksimum sehingga 175 tahun penjara, walaupun dia tidak mungkin dijatuhkan hukuman penuh itu.

Artikel Berkaitan:

Assange diburu oleh pihak berkuasa AS kerana menerbitkan rekod tentera sulit yang dibekalkan oleh bekas penganalisis perisikan tentera darat, Chelsea Manning, pada tahun 2010 dan 2011.

Pegawai AS mendakwa bahawa Assange menghasut Manning untuk mendapatkan ribuan halaman kabel diplomatik AS yang tidak ditapis yang berpotensi membahayakan sumber sulit, laporan aktiviti signifikan berkaitan perang Iraq dan maklumat berkaitan tahanan Guantanamo Bay.

Presiden AS, Joe Biden dalam beberapa bulan kebelakangan ini telah merujuk kepada kemungkinan perjanjian yang didorong oleh pegawai kerajaan Australia untuk mengembalikan Assange ke Australia.

Pegawai Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman menentang sebarang perjanjian yang tidak termasuk pengakuan bersalah oleh Assange atas tuduhan jenayah, kata orang yang diberi taklimat mengenai perkara itu kepada CNN.

Bulan lalu, sebuah mahkamah United Kingdom memutuskan bahawa Assange mempunyai hak untuk merayu cabaran terakhirnya terhadap ekstradisi ke AS, memberikan kemenangan kepadanya dalam perjuangan bertahun-tahunnya untuk mengelakkan pendakwaan di AS atas jenayah yang didakwa ke atasnya. - Agensi/Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!