Abdul Aziz ketua yang prihatin, disayangi pekerja

Abdul Aziz - Foto Bernama
Abdul Aziz - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jasa dan keprihatinan bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines System (MAS) yang kini dikenali sebagai Malaysia Airlines Berhad, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman terhadap kebajikan pekerja akan kekal dalam ingatan anak kapal syarikat penerbangan itu.

Presiden Sekretariat Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam), Ismail Nasaruddin berkata, anak kapal merasai kehilangan seorang tokoh penerbangan negara yang berjaya membawa MAS menempa kegemilangan.

Menurutnya, Allahyarham disayangi pekerja di atas keprihatinan beliau dan meskipun sudah bersara, beliau percaya MAS mampu bangkit menjadi sebuah syarikat yang unggul seperti dahulu.

"Pada tahun akhir sebelum beliau bersara, MAS mengumumkan pemberian bonus tiga bulan yang merupakan bonus paling tinggi pernah kami dapat.

“Selain itu, kebajikan pekerja sentiasa diberi perhatian kerana beliau seorang ketua yang sangat prihatin.

“Selepas bersara, beliau tetap mengambil berat mengenai MAS. Apa yang disuarakan demi masa depan syarikat kerana beliau percaya MAS masih boleh dapat keuntungan,” katanya ketika dihubungi selepas hadir pengebumian jenazah Allahyarham di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Pengarah Urusan MAS meninggal dunia

Abdul Aziz bawa MAS terbang tinggi

Artikel Berkaitan:

Allahyarham yang menghidap kanser esofagus meninggal dunia di sebuah hospital swasta malam semalam dan jenazah dibawa ke Masjid Saidina Umar Bukit Damansara jam 9 pagi tadi untuk disolatkan serta dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Abdul Aziz menyertai syarikat penerbangan itu pada April 1971 sebagai Setiausaha Syarikat/ Pengarah Hal Ehwal Undang-Undang MAS, sebelum dilantik sebagai Pengarah Urusan pada 1982.

Syarikat penerbangan negara itu berkembang menjadi jenama unggul dunia ketika Allahyarham bersara pada 1991 dengan meninggalkan rizab tunai sebanyak RM5 bilion.