Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS hari ini selepas diniagakan dalam jajaran kecil sepanjang hari, kata seorang penganalisis.

Pada jam 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.7110/7150 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.7110/7145 pada Jumaat minggu lepas.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kepada Bernama bahawa dolar AS dijangka terus kukuh dengan Indeks Dolar AS (DXY) kekal berada di atas paras 105 mata.

Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) memberi bayangan akan terus mengekalkan kadar semasanya dan terdapat kemungkinan kadar faedah akan dinaikkan tidak lama lagi.

Beliau berkata, ini telah meningkatkan permintaan terhadap dolar AS kerana kadar faedah tinggi menarik lebih banyak pelabur yang inginkan pulangan yang lebih baik.

Pada Khamis, angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) Amerika Syarikat bagi suku pertama 2024 akan diumumkan dengan konsensus mengunjurkan pertumbuhan KDNK pada 1.3 peratus, sama dengan unjuran kedua yang dikeluarkan oleh Biro Analisis Ekonomi.

Sementara itu, seorang penganalisis berkata harga minyak mentah Brent yang lebih tinggi mungkin memberi sedikit sokongan kepada ringgit berikutan status negara sebagai pengeksport bersih minyak dan gas.

Pada 6.24 petang, penanda aras minyak mentah Brent meningkat 0.42 peratus kepada AS$85.60 setong.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ringgit ditutup kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9508/9535 daripada paras penutup 2.9648/9671 pada Jumaat minggu lepas tetapi susut berbanding pound Britain kepada 5.9679/9730 daripada 5.9594/9638 dan menyusut berbanding euro kepada 5.0511/0554 daripada 5.0394/0431.

Ringgit ditutup kebanyakannya rendah berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Unit tempatan meningkat berbanding baht Thai kepada 12.8383/8541 daripada paras penutup 12.8495/8639 pada Jumaat minggu lepas.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4811/4843 daripada paras penutup 3.4785/4814 pada Jumaat minggu lepas, turun berbanding rupiah Indonesia kepada 287.3/287.7 daripada 286.3/286.7 dan jatuh berbanding peso Filipina kepada 8.01/8.02 daripada 8.00/8.02. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!