Penjawat awam rugi RM41,000 ditipu Macau Scam

No Image Caption
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang penjawat awam berputih mata selepas kerugian RM41,000 akibat diperdaya seorang lelaki yang mendakwa dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Ahad lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali berkata, lelaki berusia 52 tahun itu pada mulanya dihubungi menerusi telefon oleh seorang lelaki yang memperkenalkan diri dari IPK Melaka.

"Lelaki itu mendakwa akaun mangsa dikesan telah disalah guna oleh individu untuk aktiviti pengubahan wang haram serta dadah dan tindakan undang-undang ke atasnya akan diambil bila-bila masa sahaja.

"Bagaimanapun dalam masa sama, suspek memberitahu dia boleh membantu menyelesaikan secara baik, tetapi meletakkan syarat iaitu mangsa perlu memasukkan sejumlah wang ke akaun bank yang diberikan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Hamdan berkata, mangsa yang berasa takut terus bersetuju sebelum membuat tiga kali transaksi wang ke dalam akaun bank diberikan pada hari sama selepas panggilan diterima yang berjumlah RM41,000.

"Namun, semalam mangsa mula berasa curiga telah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Berang untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel Berkaitan: