Curi RM24.2 juta: Pemegang akaun terjejas perlu dapat bayaran balik segera - BNM

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesemua pemegang akaun yang terjejas dalam kes kehilangan wang daripada beberapa akaun simpanan tetap melibatkan kerugian berjumlah RM24.2 juta, perlu mendapat bayaran balik dengan segera, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Pada masa sama, bank pusat itu turut memandang serius semua laporan berkaitan pengeluaran wang tunai tidak sah secara besar-besaran yang membabitkan pekerja institusi kewangan dan pihak luar.

"Integriti individu yang bekerja dengan institusi kewangan adalah perkara yang amat penting,” kata BNM hari ini sebagai menjawab pertanyaan Bernama berhubung perkembangan kes berkenaan.

Setakat hari ini, polis telah menahan 14 individu, termasuk empat kakitangan bank bagi membantu siasatan kes itu.

Polis menerima empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank pada awal Jun lepas di Petaling Jaya, Selangor, selepas mangsa menyedari pengeluaran wang mencurigakan yang dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.

Menjelaskan selanjutnya, BNM turut menegaskan bahawa semua institusi kewangan perlu melaksanakan kawalan yang kukuh untuk melindungi dana pelanggan serta integriti sistem kewangan.

"Ini termasuk sebagai contoh, keperluan untuk institusi kewangan menguatkuasakan kod etika yang kukuh.

"Institusi kewangan juga perlu menjalankan pemeriksaan menyeluruh dan saringan terhadap bakal pekerja sebelum menerima mereka untuk berkhidmat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Malah, BNM berkata individu yang mempunyai rekod kesalahan serta tidak jujur adalah dilarang daripada berkhidmat dengan mana-mana institusi kewangan.

Bank pusat itu turut mengingatkan mana-mana institusi yang terlibat dalam siasatan berkaitan untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan bertindak mengambil tindakan tatatertib yang tegas berdasarkan hasil siasatan dalaman.

"BNM juga menasihatkan pengguna untuk segera melaporkan sebarang transaksi tidak sah atau mencurigakan kepada bank masing-masing atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sebaik menyedari kejadian itu selain laporan kepada pihak polis," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!