PRK Sungai Bakap: Polis tubuh pasukan khas pantau isu 3R

Polis Pulau Pinang menubuhkan pasukan khas bagi memantau isu berkenaan 3R (agama, raja, kaum) agar tidak dimainkan oleh mana-mana parti politik sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap. Gambar kecil: Hamzah
Polis Pulau Pinang menubuhkan pasukan khas bagi memantau isu berkenaan 3R (agama, raja, kaum) agar tidak dimainkan oleh mana-mana parti politik sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap. Gambar kecil: Hamzah
A
A
A

NIBONG TEBAL - Polis Pulau Pinang menubuhkan pasukan khas bagi memantau isu berkenaan 3R (agama, raja, kaum) agar tidak dimainkan oleh mana-mana parti politik sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya akan memberi perhatian khusus berkaitan isu 3R termasuk dalam ceramah bagi memastikan perjalanan kempen berjalan lancar.

Menurutnya, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Chong Boo Khim telah pun berjumpa dengan wakil calon yang bertanding bagi menerangkan isu-isu keselamatan termasuk perkara yang tidak boleh dilakukan terutamanya berkaitan 3R.

"Kita nasihatkan supaya (setiap parti politik dan penyokong) untuk elak menggunakan isu ini sebagai kempen bagi meraih sokongan.

"Kta minta kerjasama parti bertanding untuk mematuhi peraturan ditetapkan seperti yang telah dipersetuju sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Hamzah turut menasihati parti yang bertanding untuk memohon permit lebih awal supaya polis dapat mengawal dan menyelia sesuatu ceramah atau perhimpunan bagi tujuan keselamatan.

Jelasnya, setakat ini pihaknya menerima satu sahaja permohonan permit namun dijangka ia akan bertambah selepas hari penamaan calon.

Mengulas mengenai persiapan anggotanya, Hamzah berkata, seramai 800 anggota polis akan bertugas bagi memastikan kelancaran sepanjang PRK Sungai Bakap.

Artikel Berkaitan:

"Pada hari penamaan calon dan pengundian, kita bagi tumpuan berkaitan kesesakan jalan raya yang mungkin berlaku dan beri penugasan khusus trafik untuk tangani isu kesesakan jalan raya.

"Harap lancar dan pastikan bahawa orang ramai tidak ada perasaan takut dan ragu-ragu nak keluar mengundi,” katanya.

PRK Sungai Bakap menyaksikan seramai 39,279 pemilih yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Dewan Serbaguna Jawai yang terletak di Jalan Serindit, Taman Desa Jawi akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi.

Sebanyak sembilan buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 65 saluran dan satu tempat pengundian awal akan digunakan,"

PRK Sungai Bakap merupakan PRK kelapan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 PRU-15 pada November 2022.

Ia membabitkan PRK Parlimen Kuala Terengganu, Terengganu; PRK DUN Simpang Jeram, Johor; PRK Parlimen Pulai, Johor; PRK DUN Pelangai, Pahang; PRK DUN Jepak, Sarawak; PRK Parlimen Kemaman, Terengganu dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu, Selangor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!