CRS: 525 notis advokasi dikeluarkan JPJ

Shaharuddin - Foto fail Bernama
Shaharuddin - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 525 notis advokasi dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap pengguna jalan raya yang membawa penumpang kanak-kanak tanpa kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) sejak 1 Januari sehingga semalam.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, notis advokasi tersebut adalah sebagai statistik bagi pihaknya untuk melihat bilangan pemandu yang tidak menggunakan CRS di dalam kenderaan.

"JPJ akan membuat teguran dan kesedaran ini secara berterusan kepada masyarakat sehingga Jun depan," katanya.

Menurutnya, pihaknya akan menilai semula tempoh advokasi ini sebelum membuat sebarang keputusan.

ARTIKEL BERKAITAN: Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dipantau

"Kita juga akan adakan kerjasama dengan agensi lain mengenai mekanisme yang perlu dilaksanakan untuk penguatkuasa ini," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat JPJ di sini hari ini.

Sebelum ini kerajaan memutuskan mewajibkan penggunaan CRS sebagai langkah kesedaran untuk keselamatan kanak-kanak berikutan statistik kemalangan jalan raya melibatkan kematian kanak-kanak sangat membimbangkan.

Bagaimanapun pengguna jalan raya diberi tempoh pendidikan dan kesedaran selama enam bulan bermula Januari.

Sementara itu, Shaharuddin berkata, seramai 2,200 pegawainya dibekukan cuti sepanjang cuti perayaan Tahun Baru Cina ini.

Artikel Berkaitan:

"Mereka akan bertugas sepanjang musim perayaan ini," katanya.

Menurutnya, sepanjang Ops Tahun Baru Cina, sebanyak 15,876 kenderaan diperiksa.

"Sebanyak 148 bas ekspres diperiksa JPJ dengan menempatkan pegawai bagi tujuan penyamaran sebagai penumpang bas.

"Daripada jumlah itu, 24 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk menggunakan telefon bimbit, tata kelakuan pemandu bas, memotong di garisan berkembar dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, kesemua kenderaan barangan dilarang berada di jalan raya pada hari ini dan esok serta Isnin dan Selasa depan.