Mesyuarat Khas PRK DUN Nenggiri Jumaat depan - SPR

SPR akan adakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil PRK DUN Nenggiri Jumaat ini.
SPR akan adakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil PRK DUN Nenggiri Jumaat ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N43 Nenggiri, Kelantan akan diadakan pada Jumaat depan bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya tersebut.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak memaklumkan, ia berikutan pihaknya telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Kelantan, Datuk Seri Amar Abdullah mengenai kekosongan luar jangka kerusi terbabit susulan penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim telah hilang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun.

"Sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, kekosongan luar jangka tersebut hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima pemakluman tersebut," katanya pada Rabu.

Ujar beliau, sidang akhbar akan diadakan sejurus mesyuarat tersebut selesai.

Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang antara enam Ahli Parlimen dan ADUN Bersatu yang terlucut keahliannya kerana mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mohd Azizi bertanding atas tiket Pas dan memenangi kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 pada November 2022, manakala kerusi DUN Nenggiri dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri pada Ogos 2023.

Bagaimanapun, kedudukannya dan lima yang lain sebagai Ahli Parlimen belum terungkai hingga Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul membuat keputusan mengenainya.

Ahli Parlimen lain yang menyokong Anwar ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Artikel Berkaitan:

Semua mereka gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!