Lima ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram didakwa terbabit ideologi IS

Salah seorang ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada pagi Rabu, dengan kawalan ketat anggota keselamatan.
Salah seorang ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada pagi Rabu, dengan kawalan ketat anggota keselamatan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Lima ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Rabu atas sembilan pertuduhan termasuk menggalak dan menanam ideologi kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Tertuduh terdiri daripada Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62 tahun; isterinya, Rosna Jantan, 59 tahun yang juga warga Singapura dan tiga anak mereka Radin Romyullah, 34 tahun; Farhah Sobrina, 23 tahun dan Mariah, 19 tahun.

Suspek pertama Radin Imran berdepan empat pertuduhan manakala suspek kedua Radin Romyullah, dua pertuduhan; tertuduh ketiga Rosna Jantan, satu pertuduhan; tertuduh keempat dan kelima Farhah Sobrina serta Mariah masing-masing satu pertuduhan.

Mengikut pertuduhan bagi suspek pertama iaitu Radin Imran, berhadapan pertuduhan mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574), iaitu menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam fahaman ideologi keganasan yang berkait, kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Fahaman itu didakwa telah disemai kepada semua anggota keluarganya membabitkan Radin Luqman, 21, suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram; isterinya serta tiga anaknya yang lain.

Sementara bagi pertuduhan kedua, Radin Imran dituduh memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas dengan menyimpan empat senjata api jenis senapang angin buatan sendiri untuk menjalankan aktiviti kumpulan pengganas IS, dan didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Radin Imran dan anak sulungnya, Radin Romyullah, turut berdepan pertuduhan memberi sokongan kepada IS dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas itu, Abu Bakar Al-Baghdadi. Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Artikel Berkaitan:

Radin Imran turut didakwa memiliki buku bertajuk Hakikat Islam & Hakikat Syirik oleh Abu Sulaiman Aman Abdurrahman yang berkaitan kumpulan pengganas IS, dan didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Radin Romyullah yang juga suspek kedua turut didakwa memiliki cakera keras yang mengandungi bahan berkaitan kumpulan IS dan perlakuan pengganas, dan didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Bagi tertuduh ketiga hingga kelima, membabitkan Rosna; Farhah Sobrina dan Mariah pula, mereka didakwa sengaja tidak memberikan apa-apa maklumat berkaitan kesalahan dilakukan membabitkan Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574). Mereka didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan (Akta 574).

Kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara antara tujuh hingga 40 tahun atau denda atau kedua-duanya, dengan semua harta yang digunakan bagi melakukan kesalahan itu hendaklah dirampas, jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, di sini, antara April 2017 hingga 17 Mei 2024.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Mustaffa P Kunyalam dan Fazeedah Faik manakala kesemua lima tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohammad Mustaffa memaklumkan kepada mahkamah tiada jaminan ditawarkan terhadap kelima-lima tertuduh yang ditahan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) khususnya kepada individu yang didakwa dengan kesalahan keselamatan.

Hakim kemudian tidak menawarkan sebarang jaminan diberikan terhadap kesemua tertuduh.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 31 Julai bagi pengurusan kes untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

@sinarharianonline

Lima ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram didakwa terbabit ideologi IS #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #Keluarga #BalaiPolis #UluTiram #IS

News - Andy Ms

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!