Empat lelaki nekad rompak kedai emas dalam pusat beli-belah

Sebuah kedai emas di dalam pusat beli-belah di Kajang, dirompak oleh empat lelaki bersenjata api pada Isnin. Foto HISYAMUDDIN AYUB
Sebuah kedai emas di dalam pusat beli-belah di Kajang, dirompak oleh empat lelaki bersenjata api pada Isnin. Foto HISYAMUDDIN AYUB
A
A
A

KAJANG - Empat suspek lelaki memakai baju seakan pengawal keselamatan, bertopeng serta bersarung tangan gelap dipercayai merompak sebuah kedai emas di dalam sebuah pusat beli-belah di sini pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohamad Nasir Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3.30 petang menyatakan bahawa berlaku satu kejadian rompakan di sebuah kedai emas.

Beliau berkata, suspek telah masuk ke premis sebuah kedai emas di tingkat satu bangunan tersebut dan terus memecahkan cermin kaca tempat simpanan emas menggunakan tukul besi sambil mengambil barang kemas.

"Hasil siasatan dan tindakan awal pihak polis mendapati kejadian berlaku jam 3.17 petang melibatkan empat suspek lelaki dengan bangsa tidak dapat pastikan.

"Semasa kejadian, suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol dan satu laras senapang serta telah melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis.

"Kesemua suspek dipercayai melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah bangunan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohamad Nasir berkata, jumlah kerugian masih dalam siasatan dan belum dapat disahkan.

Menurutnya, pihak polis masih menjalankan siasatan ke atas kamera litar tertutup (CCTV) dalam bangunan tersebut, selain mendapatkan beberapa orang saksi kejadian bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mati walaupun tidak melibatkan kecederaan mahupun kematian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian tersebut boleh berhubung dengan mana-mana balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Afiq Farhan Mohd Nor di talian 012-2446768," ujarnya.

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia mendengar letupan seperti satu das tembakan ketika kejadian rompakan berkumpulan itu.

Katanya, dia yang sedang berehat selepas waktu kerja kemudiannya bertindak keluar dari pusat beli-belah tersebut.

Menurutnya, orang ramai dan pelanggan di pusat beli-belah turut melarikan diri setelah mendengar letupan seperti tembakan dilepaskan daripada senjata api.

"Kejadian dianggarkan berlaku sekitar jam 3.17 petang di tingkat satu pusat beli-belah ini.

"Selepas bunyi letupan itu, empat lelaki berbaju lengan panjang dan bertopi keledar memecahkan cermin tempat penyimpanan barang kemas," katanya yang ditemui pada Isnin.

Dakwanya, pekerja kedai emas terbabit menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam premis perniagaan dan ada yang tunduk.

Menurutnya, selepas selesai mengambil bahan rompakan, kumpulan lelaki tersebut dipercayai melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah bangunan.

Sinar Harian difahamkan, kejadian rompakan kedai emas pernah berlaku di pusat beli-belah tersebut beberapa tahun sebelum ini.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati pita keselamatan polis diletakkan di sekitar kedai emas tersebut.

Terdapat sebuah lagi kedai emas yang terletak berdekatan dengan kedai emas dirompak oleh kumpulan penjenayah tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!