Sabry pernah sembelih 23 lembu korban sehari, ada 39 koleksi parang

Sabry menunjukkan antara koleksi parang sembelihannya
Sabry menunjukkan antara koleksi parang sembelihannya
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Setiap kali Aidiladha, Sabry Leman, 65, menjadi antara orang yang dicari-cari kerana kepakarannya sebagai 'tukang sembelih' lembu korban.

Malah dia tidak lokek untuk berhabis sehingga RM15,000 hanya untuk menempah parang yang terbaik bagi memastikan tugasan diberi dapat dijalankan sebaik mungkin.

Lebih 40 tahun diberi tanggungjawab itu, bekas imam berkenaan kini mempunyai 39 koleksi parang khas untuk tujuan terbabit.

Menurut Sabry, dia mula menjadi tukang sembelih ketika berkhidmat dalam tentera di Kem Sungai Besi di ibu negara pada 1982.

Sabry
Sabry

"Saya memang ada ambil kursus penyembelihan dan setiap kali ada program korban dalam kem, sayalah dipertanggungjawabkan.

"Walaupun dah bersara, tapi peranan sebagai tukang sembelih itu masih berterusan sehingga sekarang apabila saya 'ditempah' untuk membantu menyempurnakan ibadah korban di sekitar Seremban," katanya

Oleh sebab itulah katanya, daripada hanya memiliki dua parang saja, dia kini mempunyai 39 parang khas untuk tujuan itu.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya lagi, kesemua parang terbabit ditempah khas dengan harga paling murah RM270 dan paling mahal ialah RM900.

Cantik... Antara koleksi parang sembelihan Sabry.
Cantik... Antara koleksi parang sembelihan Sabry.

"Kebanyakannya ditempah daripada besan saya di Kota Belud, Sabah dan kalo kos keseluruhannya kira-kira RM15,000.

"Saya perlu sediakan parang yang banyak kerana setiap kali Aidiladha, banyak haiwan korban yang perlu disembelih dan saya akan gunakan parang yang berbeza bagi memastikan semuanya berjalan lancar," katanya.

Sepanjang pengalamannya kata Sabry, dia pernah diberi tanggungjawab menyembelih sebanyak 23 ekor lembu korban dalam tempoh sehari.

Sementara itu katanya, menyembelih haiwan korban merupakan ibadah dan penting perlu memastikan syarat-syarat sah ibadah korban diikuti.

"Antara yang perlu diberi perhatian oleh penyembelih ialah parang atau pisau yang digunakan perlu tajam supaya tidak menyakitkan haiwan yang disembelih.

"Ingat, tugas penyembelih ini besar dan sebab itu perlu ada ilmu kerana jika tidak, ibadah korban itu boleh jadi tak sah," katanya.

Selain perkara sunat yang dituntut ketika kerja penyembelihan, Sabry juga mengamalkan beberapa pantang larang antaranya memastikan ketiak dan celah kelangkang bersih.

"Perlu menahan nafas ketika sedang sembelih haiwan korban dan lembutkan pergerakan parang yang dipegang.

"Semua itu bersebab dan sebagai penyembelih kita juga kena ingat ia adalah amanah daripada mereka yang menyertai ibadah korban," katanya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!