X

Kindly register in order to view this article
!

Majlis santapan bulanan, inisiatif Agong erat hubungan dua hala

Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah berkenan bergambar bersama Duta Besar ke Malaysia dan Pesuruhjaya Tinggi Asing ke Malaysia selepas Majlis Santapan Tengah Hari Diraja di Istana Negara hari ini. Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia Prof Dr Qaley Allahverdiyev dan Duta Besar Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Santapan Tengah Hari Diraja Bersama Perwakilan Asing di Istana Negara hari ini adalah inisiatif Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meraikan dan mengenali dengan lebih dekat perwakilan asing yang bertugas di Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, acara yang diadakan julung kali itu melibatkan kumpulan pertama perwakilan dari 10 negara yang dipilih berdasarkan kekananan mereka atau tarikh mereka mula bertugas di Malaysia.

Katanya, majlis itu akan dianjurkan setiap bulan untuk memberi ruang kepada Al-Sultan Abdullah untuk turut menyumbang kepada hubungan dua hala Malaysia dengan negara luar dan ia secara tidak langsung turut dapat membantu mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020.

"Yang lebih penting, majlis ini bertujuan untuk Seri Paduka Baginda bertukar pendapat dan pandangan berkenaan isu-isu semasa bersama para perwakilan asing khususnya Malaysia yang akan menjadi tuan rumah Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November 2020," katanya di sini hari ini.

Seri Paduka dan Raja Permaisuri Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis santapan bersama Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi Asing ke Malaysia itu yang diadakan di Istana Negara.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan bergambar bersama Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia, Profesor Dr Qaley Allahverdiyev dan isteri Lala Allahverdiyev selepas Majlis Santapan Tengah Hari Diraja bersama Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi Asing ke Malaysia di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan bergambar bersama Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia, Profesor Dr Qaley Allahverdiyev dan isteri Lala Allahverdiyev selepas Majlis Santapan Tengah Hari Diraja bersama Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi Asing ke Malaysia di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama

Turut hadir, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan isteri serta pegawai kanan Kementerian Luar.

Pada sesi pertama hari ini, Seri Paduka beramah mesra dan bertukar-tukar pandangan bersama 10 duta besar dan pesuruhjaya tinggi asing ke Malaysia.

Mereka terdiri daripada Duta Besar Azerbaijan, Profesor Dr Qaley Allahverdiyev; Duta Besar Romania, Constantin Volodea Nistor; Duta Besar Mexico, Carlos Isauro Felix Corona; Pesuruhjaya Tinggi Brunei, Datuk Paduka Alaihuddin Mohd Taha dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Vanu Gopala Menon.

Selain itu, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh, Md Shahidul Islam; Duta Besar Algeria, Nasreddine Rimouche; Duta Besar Hungary, Attila Kali; Pesuruhjaya Tinggi Zambia, Walubita Imakando dan Duta Besar Laos Houmdaophone Soukhaseum.

Ahmad Fadil berkata, selain daripada perwakilan asing, Seri Paduka menzahirkan hasrat untuk menganjurkan Majlis Santapan Tengah Hari Diraja bulanan bersama pegawai kanan kementerian, jabatan serta agensi di bawahnya.

Sesi pertama untuk majlis itu dijadualkan pada 30 Januari yang akan diadakan bersama pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Sementara itu, Allahverdiyev berkata, majlis yang diadakan hari ini adalah inisiatif baik Yang di-Pertuan Agong untuk lebih mengenali semua duta besar dan pesuruhjaya tinggi untuk menjalin hubungan lebih rapat dan bertukar-tukar pandangan.

“Saya berpendapat semua orang gembira hari ini kerana kami bukan sahaja berpeluang mengutarakan masalah kami tetapi juga pandangan kami tentang Malaysia, tentang negara kami, hubungan dua hala kami dan masa depan kami. Ia amat bermanfaat dan kami amat menghargainya,” katanya selepas majlis itu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!