'Orang tengah' sogok wang rasuah lindung premis haram ditahan

SPRM Kuala Lumpur menahan seorang lelaki disyaki berperanan sebagai orang tengah mengumpul wang rasuah untuk diberikan kepada penguat kuasa.
SPRM Kuala Lumpur menahan seorang lelaki disyaki berperanan sebagai orang tengah mengumpul wang rasuah untuk diberikan kepada penguat kuasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lelaki disyaki berperanan sebagai 'orang tengah' yang mengumpul wang rasuah untuk diberikan kepada penguat kuasa.

Penahanan lelaki berusia lingkungan 60-an itu dibuat SPRM Kuala Lumpur kira-kira jam 6.45 petang di ibu negara, pada Khamis.

Menurut sumber, SPRM turut menemui dan menyita wang berjumlah hampir RM400,000 yang dipercayai telah dikumpul untuk diedarkan kepada pegawai serta anggota-anggota penguat kuasa.

"Tangkapan ini juga adalah susulan penahanan empat individu termasuk seorang timbalan pengarah pihak berkuasa tempatan (PBT) pada 7 Jun lalu," katanya pada Jumaat.

Tambah sumber, perintah reman suspek selama empat hari sehingga 17 Jun depan telah dikeluarkan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

"Suspek dipercayai menjadi 'orang tengah' atau perantara yang mengumpul wang-wang rasuah daripada beberapa premis perniagaan haram seperti rumah urut, pusat hiburan dan premis di ibu negara.

"Wang yang dikumpul kemudian akan diagihkan kepada pegawai serta anggota penguat kuasa pihak PBT selain kepada anggota sebuah lagi agensi penguat kuasa lain.

"Wang rasuah itu bagi membolehkan premis-premis perniagaan haram berkenaan beroperasi tanpa dikenakan tindakan penguatkuasaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!