Polis selamatkan tiga lelaki mangsa eksploitasi buruh paksa

Tiga lelaki disyaki menjadi buruh paksa di sebuah kilang memproses fucuk diselamatkan menerusi Ops Pintas Mega di Kawasan Perindustrian Juru, semalam.
Tiga lelaki disyaki menjadi buruh paksa di sebuah kilang memproses fucuk diselamatkan menerusi Ops Pintas Mega di Kawasan Perindustrian Juru, semalam.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis menyelamatkan tiga lelaki disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa di sebuah kilang memproses fucuk menerusi Ops Pintas Mega di Kawasan Perindustrian Juru di sini, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi berkata, kesemuanya merupakan warga asing yang disyaki orang diperdagangkan.

"Betul kita (polis) ada selamatkan tiga lelaki yang dijadikan buruh paksaan dan siasatan dibuat di bawah Seksyen 12 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Operasi selama enam jam bermula 2 petang itu disertai sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) selain anggota Jabatan Tenaga Kerja, Majlis Bandaraya Seberang Perai, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Ketiga-tiga lelaki berusia antara 17 hingga 21 tahun itu dipercayai dipaksa bekerja sejak tiga bulan lepas dengan melakukan kerja memproses fucuk di kilang itu sembilan jam setiap hari.

Difahamkan, mereka diberi amaran oleh majikan agar tidak keluar dari kawasan kilang untuk mengelak diberkas pihak berkuasa dan dipercayai akur demi mendapatkan upah bulanan.

Dalam serbuan itu, sembilan warga asing termasuk empat wanita berusia 25 hingga 42 tahun yang disyaki pekerja premis turut ditahan selain seorang lelaki berusia 66 tahun yang juga majikan kilang.

Kesemua tangkapan dibawa ke IPD SPT untuk tindakan lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!