Dasar baharu TVET manfaatkan pelajar kita

Ahmad Zahdi (dua, kiri) mengiringi Anwar (tengah) merasmikan Hari TVET Negara 2024 di ILP Kuala Langat, Banting baru-baru ini. Foto Bernama
Ahmad Zahdi (dua, kiri) mengiringi Anwar (tengah) merasmikan Hari TVET Negara 2024 di ILP Kuala Langat, Banting baru-baru ini. Foto Bernama
A
A
A

SESIAPA PUN pasti mempunyai cita-cita untuk mempunyai kelulusan cemerlang yang boleh membantu untuk memperoleh kerjaya yang baik.

Sudah tentu apabila ada kerjaya yang baik, ia menjanjikan masa depan yang cerah.

Namun, apa yang perlu dilakukan jika tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)? Adakah ini bermakna harapan untuk sambung belajar ke peringkat tertinggi terbantut?

Sebab itu bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET ) yang diperkenalkan kerajaan sejak tahun 1964 adalah untuk mempersiapkan modal insan negara agar mempunyai ilmu serta kemahiran yang diperlukan di pasaran tenaga kerja.

Awal permulaan TVET di Malaysia adalah dengan penubuhan dua institusi TVET awam iaitu Institut Kemahiran Belia dan Negara (IKBN) di Selangor dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kini lebih daripada 500 institusi pendidikan TVET awam telah ditubuhkan dalam memenuhi permintaan tersebut dengan penawaran pelbagai program di institusi TVET awam.

Ketika kerajaan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada tahun 2022, satu lagi pencapaian baharu tercipta, iaitu pelancaran Pelan Penjenamaan TVET Nasional.

Malah Hari TVET Negara juga telah ditetapkan pada 2 Jun setiap tahun bagi menghargai sumbangan pelbagai pihak berkaitan TVET.

Artikel Berkaitan:

Terbaharu, bagi memastikan peluang itu terus wujud dan dipertingkatkan menerusi pelbagai bidang, Kerajaan Perpaduan pula memperkenalkan Dasar TVET 2030.

Lima teras digariskan dalam dasar berkenaan iaitu Tadbir Urus Komprehensif dan Bersinergi; Kualiti dan Laluan Pendidikan Bertaraf Dunia; Kerjasama Industri Cekap dan Produktif; Pembiayaan TVET Mampan dan TVET Pilihan Utama Kerjaya.

Penulis melihat usaha kerajaan ini mampu memberi peluang seluas-luasnya kepada individu yang kurang cemerlang dalam SPM diberi peluang kedua menimba ilmu dalam cabang kemahiran.

Kerajaan turut mengeluarkan tambahan belanja RM200 juta untuk dimanfaatkan oleh kira-kira 13,000 pelajar dalam bidang seperti peralihan tenaga, teknologi dan digital serta pertanian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan bakal disalurkan kepada golongan sasar menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran dan tanggungjawab menguruskannya terletak di bawah seliaan Pengerusi Majlis TVET Kebangsaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Terbaharu Anwar pada Majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara 2024 yang bertempat di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat Sabtu lalu menegaskan tumpuan akan diberikan kepada bidang-bidang seperti kenderaan elektrik (EV), keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), bahan termaju dan teknologi elektrik.

Usaha berterusan itu wajar dipuji apabila golongan orang kurang Upaya (OKU) turut diberi peluang untuk mengikuti kursus yang ditawarkan.

Anwar juga memaklumkan, pihaknya bersetuju untuk membuka lebih banyak segmentasi TVET kepada golongan OKU dan penduduk luar bandar khususnya masyarakat orang asal di Sabah serta Sarawak.

Penulis melihat TVET ini bukan sahaja soal mahu mendapat pekerjaan, tetapi pekerjaan dengan pendapatan tinggi.

Peluang yang ada perlu direbut untuk memastikan bidang kemahiran ini terus menjadi platform melahirkan ramai tenaga kerja profesional pada masa akan datang.

Malah Ahmad Zahid turut memberi jaminan tidak akan ada satu pun permohonan ke TVET ditolak.

Menurutnya, setakat Mei lalu lebih 30,000 tempat disediakan untuk pemohon.

Berdasarkan trend sebelum ini katanya terdapat 100,000 permohonan, dan beliau minta sekretariat (Majlis TVET Negara), meluluskannya bagi membolehkan anak muda mendapatkan tempat dalam TVET.

*Izwan Rozlin ialah wartawan Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!