'Tunjukkan bukti seperti mereka lakukan terhadap Najib' - Tun M

Dr Mahathir dalam Sembang Fireside Sinar Daily pada Selasa. FOTO: Asril Aswandi Shukor
Dr Mahathir dalam Sembang Fireside Sinar Daily pada Selasa. FOTO: Asril Aswandi Shukor
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa tidak bersalah walaupun siasatan sedang dijalankan dan setakat ini tiada bukti konkrit bahawa beliau terlibat dengan aktiviti rasuah.

Beliau turut mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti kerana didakwa mempunyai dokumen yang banyak.

"Saya tidak takut kerana tidak mengambil rasuah. Jika mereka mempunyai bukti, seperti dokumen, cek bank, yang mereka ada terhadap Najib (bekas Perdana Menteri yang dipenjarakan Datuk Seri Najib Razak), maka tunjukkan.

“Beliau kata ada berkotak-kotak dokumen. Tunjukkan, tetapi tidak boleh tunjukkan. Ini sudah setahun,” katanya dalam episod Sembang Fireside Sinar Daily pada Selasa.

Pada 7 Mei lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada rancangan segera untuk menangkap Dr Mahathir berikutan siasatan mereka terhadap pengisytiharan aset.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, ia kerana siasatan terhadap negarawan itu masih berjalan.

Mengulas lanjut, menurut bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, ahli keluarga termasuk anak-anaknya tidak terlibat dalam politik atau sebarang bentuk perniagaan di Malaysia sepanjang tempoh berkhidmat bersama kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendakwa, siasatan yang dijalankan oleh SPRM baru-baru ini mungkin bermotifkan dendam.

"Saya rasa ada unsur balas dendam di sana. Anak-anak saya tidak dibenarkan terlibat dalam politik atau perniagaan di Malaysia semasa saya menjadi Perdana Menteri,” ujarnya.

Pada 18 Januari dan 26 Januari lalu, SPRM mengeluarkan notis kepada Mirzan dan Mokhzani bagi mengisytiharkan semua aset tetap serta aset semasa milik mereka sama ada di dalam mahupun luar negara.

Sinar Daily dimaklumkan bahawa Mirzan dan Mokhzani tiada dalam siasatan kerana memerlukan masa serta dikehendaki mengisytiharkan harta yang terkumpul selama 43 tahun.

Sementara itu, Dr Mahathir turut mengulas mengenai situasi terkini bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin yang didakwa gagal mematuhi notis pengisytiharan aset SPRM.

Beliau berkata, tindakan pihak berkuasa sangat mengecewakan lebih-lebih lagi keadaan kesihatan Daim yang sangat uzur.

Ujarnya, selepas menyertai kerajaan Daim tidak lagi terlibat dengan aktiviti perniagaan persendirian di Malaysia.

"Tun Daim sedang sakit dan kita lihat tidak ada sebarang pertimbangan langsung. Beliau tidak boleh bercakap pun. Tetapi tuduhan itu sesuatu yang beliau tidak lakukan.

“Tiba-tiba sahaja akaun Daim dibekukan dan sekarang menghadapi masalah untuk membayar kakitangan pekerjanya,” katanya.

Sebelum ini, Daim dan keluarganya memfailkan permohonan kebenaran di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Anwar berhubung pembekuan akaun bank mereka.

Beliau turut memohon perintah membatalkan tindakan SPRM menyita harta alih yang dikenakan mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan terhadap akaun bank terbabit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!