X

Kindly register in order to view this article
!

'Sensitiviti masyarakat keterlaluan, tidak munasabah'

Profesor Madya Datuk Marzuki Mohamad
A
A

SHAH ALAM - Tahap sensitiviti masyarakat Malaysia hari ini dilihat keterlaluan dan tidak munasabah memberikan cabaran besar kepada kerajaan bagi memastikan keadaan negara tidak bertambah buruk.

Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Dalam Negeri, Profesor Madya Datuk Marzuki Mohamad berkata, masyarakat tidak sepatutnya cepat melatah dengan isu yang dimainkan pelbagai pihak.

Menurutnya, ada yang mudah tertipu dengan pihak yang disifatkan cuba mempermainkan masyarakat dengan isu yang tidak betul.

"Saya tidak tahu kenapa tahap sensitiviti masyarakat negara kita sudah tidak munasabah. Isu-isu begitu kalau timbul, boleh kita selesaikan secara baik dan tidak perlu diperbesarkan.

"Tahap imaginasi masyarakat di negara ini berada pada peringkat yang keterlaluan. Bolehkah kita mengambil sikap lebih objektif apabila menerima isu tertentu? Tanya diri kita sendiri munasabah atau sebaliknya," katanya pada Program Wacana Siri 151 bertajuk Rukun Negara: Di manakah nilai-nilai hidup rakyat Malaysia, di Auditorium Karangkraf, di sini.

Beliau berkata, rakyat perlu menerima situasi negara di mana wujudnya masyarakat dalam pelbagai kumpulan yang berbeza.

"Kita tidak boleh menafikan parti politik di negara kita ini berasaskan kaum sama ada dalam PH atau BN. Mereka secara natural pasti mewakili kepentingan kaum masing-masing. Soalnya bagaimana kita uruskan?

"Kita tidak boleh kata untuk hapuskan parti politik berasaskan kaum, kita haruskan NGO berasaskan kaum, haramkan Perkasa, Dong Zong..itu bukan satu pendekatan yang baik,"katanya.

Pada program sama, Marzuki berkata, prinsip rukun negara kekal relevan sebagai ideologi negara yang perlu dipegang oleh setiap individu.

"Keluhuran perlembagaan salah satu prinsip yang penting. Jika kita berpegang kepada perlembagaan, pada saya tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Apatah lagi dalam konteks mewujudkan perpaduan kaum," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!