Artifak 17,000 tahun: Bukti kewujudan Hoabinhian

Penemuan artifak di Gunung Pulai Baling menunjukkan bukti kewujudan kelompok manusia kebudayaan Hoabinhian antara 3,000 tahun hingga 17,000 tahun. - Foto thestudyofarchaeology (Gambar kecil: Dr Zuliskandar Ramli)
Penemuan artifak di Gunung Pulai Baling menunjukkan bukti kewujudan kelompok manusia kebudayaan Hoabinhian antara 3,000 tahun hingga 17,000 tahun. - Foto thestudyofarchaeology (Gambar kecil: Dr Zuliskandar Ramli)
A
A
A

SHAH ALAM - Penemuan artifak tinggalan prasejarah di kawasan Gunung Pulai, Baling, Kedah menunjukkan bukti kewujudan kelompok manusia kebudayaan Hoabinhian antara 3,000 tahun hingga 17,000 tahun.

Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Zuliskandar Ramli berkata, penemuan tinggalan itu yang dikenali juga sebagai lapisan kebudayaan sangat penting selepas lapisan kebudayaan terdahulu yang dikesan di tapak sama musnah akibat aktiviti manusia.

“Pentarikhan mutlak daripada sampel siput pada lapisan dinding kebudayaan terakhir menunjukkan masyarakat terawal mendiami kawasan sekitar Gunung Pulai dan Bukit Baling, yang wujud bersebelahan antara satu sama lain, kira-kira 16,000 hingga 17,000 tahun yang lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata, dalam kajian yang pernah dibuat pada tahun 2018, pihaknya telah menemui sisa makanan daripada spesies siput sungai, tulang haiwan dipercayai tulang babi hutan, monyet, rusa dan burung.

“Turut ditemui pada dinding lapisan kebudayaan setebal lebih tiga meter itu ialah alat litik, termasuk kapak genggam Haobinhian, alat batu pengetuk, alat batu giling dan batu landas.

“Pemeriksaan permukaan juga menemukan tulang dipercayai tulang manusia dan kami percaya gua ini juga digunakan sebagai salah satu tapak pengebumian masyarakat prasejarah di kawasan Baling,” katanya.

Sebahagian penemuan tapak artifak prasejarah telah ditemui oleh Jabatan Warisan Negara di beberapa tapak baharu di dalam dan luar gua yang terdapat di Gunung Pulai, Baling.
Sebahagian penemuan tapak artifak prasejarah telah ditemui oleh Jabatan Warisan Negara di beberapa tapak baharu di dalam dan luar gua yang terdapat di Gunung Pulai, Baling.

Di Malaysia, ahli sejarawan telah membahagikan zaman prasejarah kepada empat zaman sahaja iaitu Zaman Paleolitik, Zaman Hoabinhian, Zaman Neolitik dan Zaman Logam.

Artikel Berkaitan:

Penyelidikan dahulu mengatakan wujud kebudayaan Hoabinhian yang bercirikan kepada alat batu Hoabinhian seperti yang terdapat di Vietnam.

Bagaimanapun, terdapat penyelidikan oleh Universiti Sains Malaysia telah membuktikan Malaysia tidak mengalami Zaman Mesolitik.

Keadaan itu disebabkan alat batu seperti alat batu Hoabinhian telah wujud di Bukit Jawa, Lenggong, Perak, kira-kira 200,000 hingga 300,000 tahun dahulu iaitu pada awal Zaman Paleolitik. Bagaimanapun, pentarikhan di Bukit Jawa menggunakan kaedah pentarikhan relatif.

ARTIKEL BERKAITAN Artifak berusia 17,000 tahun ditemui di gua Gunung Pulai