Pertimbang kaji semula elaun kos sara hidup pegawai kerajaan

M Kula Segaran - Foto Bernama
M Kula Segaran - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia akan mempertimbang untuk mengkaji semula elaun kos sara hidup (COLA) bagi para pegawai kerajaan, kata Menterinya M.Kula Segaran hari ini.

Kali terakhir COLA untuk para pegawai kerajaan dikaji semula ialah pada 2012 dengan jumlah kepada RM300, RM250, dan RM150 yang tertakluk kepada lokasi penempatan.

“Saya akan mempertimbangkannya,” katanya ketika disoal sama ada kerajaan akan mempertimbang untuk mengkaji semula COLA bagi pegawai kerajaan yang kini menghadapi kos kehidupan yang semakin meningkat.

Beliau memberitahu pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangi perjanjian kolektif baru antara Persatuan Bank-bank Komersial Malaya dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank, di mana kira-kira 20,000 pekerja bank merangkumi kategori kerani dan bukan perkeranian dari 20 bank akan menerima pelarasan gaji antara 10 hingga 12 peratus.

Elaun sara hidup kepada pekerja bank telah dinaikkan kepada RM600 daripada RM400 berkuatkuasa 1 Januari, 2019.

Mengenai kontroversi pembelian harta di Bangsar South oleh Human Resources Development Fund (HRDF) yang dibuat tanpa pengetahuan anggota lembaga (HRDF), beliau berkata pihak pengurusan atasan pertubuhan itu perlu menyelesaikannya.

Beliau tidak mahu mengulas lanjut namun berkata kerajaan Pakatan Harapan berusaha gigih untuk menghapuskan gejala rasuah dan amalan rasuah yang berlaku di bawah kerajaan sebelum ini.

Sebuah akhbar harian melaporkan bahawa penyalahgunaan kuasa dan salah guna pengurusan dana dalam HRDF ke atas pembelian harta di Bangsar South empat tahun lepas, dilakukan tanpa pengetahuan anggota lembaga dan panel pelaburannya.

Artikel Berkaitan:

HRDF dilaporkan membelanjakan RM154 juta termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) untuk harta berkenaan dan telah membayar kira-kira RM40 juta sebelum penyerahan invois cukai.

Memetik sumber yang tidak dinamakan, akhbar harian itu mendakwa bahawa malahan lembaga pengarah HRDF telah meluluskan pengambilalihan satu lagi harta, juga terletak di Bangsar South bernilai RM141 juta sebelum GST. - Bernama