Pemilihan Bersatu: Ahli diminta lebih rasional

Mohd Solihan menyampaikan hamper pada Majlis Pelancaran Operasi Bersepadu Peringkat Negeri dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Tol Plaza Kempas di sini hari ini.
Mohd Solihan menyampaikan hamper pada Majlis Pelancaran Operasi Bersepadu Peringkat Negeri dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Tol Plaza Kempas di sini hari ini.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor meminta ahli-ahli rasional walaupun mereka dibenar untuk mencalonkan diri bagi sebarang jawatan pada pemilihan parti.

Setiausahanya, Mohd Solihan Badri berkata, sistem demokrasi diwujudkan itu bukanlah tiket untuk merebut semua jawatan di peringkat cawangan, bahagian dan Pusat sehingga mencabar presiden dan pengerusi parti.

"Jadi perlu lebih rasional, bukan disebabkan boleh tanding semua sekali, sampai jawatan presiden pun hendak bertanding," katanya ketika hadir di Majlis Pelancaran Operasi Bersepadu Peringkat Negeri dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Tol Plaza Kempas di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Johor, Razali Wagiman.

Mohd Solihan yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri bagaimanapun yakin ahli dan pemimpin tidak akan bertanding merebut jawatan presiden dan juga pengerusi parti yang disandang Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam masa sama, beliau turut menjangkakan persaingan sengit akan berlaku ketika pemilihan peringkat bahagian di Johor.

"Kebanyakan di bahagian ada pertandingan, saya sendiri tidak terlepas, ada orang yang hendak lawan saya," katanya yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ledang.

Pada 4 Januari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Bersatu, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar berkata, parti itu akan mengadakan pemilihan jawatankuasa di peringkat cawangan, bahagian dan majlis tertinggi kepimpinan termasuk wanita dan sayap pemuda bermula 25 Januari.

Pemilihan di peringkat cawangan ditetapkan mulai 25 Januari hingga 1 Mac diikuti peringkat bahagian pada 4 April apabila pemilihan di peringkat cawangan secara undian angkat tangan, manakala undian secara sulit bagi pemilihan jawatan bahagian.
Artikel Berkaitan:


Sebanyak 377,057 ahli parti di seluruh negara layak menyertai pemilihan parti dengan 2,946 cawangan yang mengadakan mesyuarat.