Pemilik kedai emas rugi RM700,000 ditipu pekerja
KUALA TERENGGANU - Polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung kes seorang pemilik kedai emas yang mendakwa kerugian RM700,000 akibat pecah amanah oleh pekerjanya.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, siasatan dibuka di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.
"Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Terengganu telah menerima laporan polis daripada seorang pemilik kedai emas yang telah kerugian sebanyak RM700,000 akibat perbuatan pecah amanah oleh pekerjanya.
"Menurut fakta kes, kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 pagi pada 2 Februari lepas semasa mangsa berada di kedai emas miliknya telah membuat semakan dan mendapati berlaku transaksi.
"Ketika itu pekerjanya telah mengambil tempahan emas daripada pelanggan untuk dileburkan dan menerima bayaran daripada pelanggan tetapi tidak merekod pada buku daftar.
"Selain itu, mangsa mendapati rekod berat emas yang diterima berbeza dengan berat sebenar secara berperingkat yang menyebabkan mangsa menanggung kerugian," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata, semakan rekod dibuat mangsa itu selepas pelanggan memaklumkan perkara tersebut kepada dirinya.
Ujarnya, pelanggan yang menghantar barangan kemas ke kedai mangsa telah membuat laporan polis apabila belum menerima barangan yang ditempah sehingga kini.
Dalam pada itu, Mohd Khairi menyatakan kes tersebut masih dalam siasatan.
"Pihak polis masih mengumpulkan bukti-bukti keterangan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan," jelasnya.