Ibu bapa Zayn Rayyan menangis, tertekan - Peguam

Ilyani Khuszairy
Ilyani Khuszairy
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Selepas tujuh hari ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autisme, bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin berada dalam keadaan tertekan.

Peguam, Ilyani Khuszairy yang mewakili pasangan suami isteri itu berkata demikian ketika sidang akhbar di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, bagi proses sambung reman pasangan berusia 28 tahun itu.

“Bapa kanak-kanak ini berada dalam keadaan yang sangat tertekan, dia menangis setiap kali diajukan soalan dan sering mengatakan bahawa pembunuh sebenar ada di luar.

“Dia kelihatan sangat sedih malah berharap kes ini dapat diselesaikan secara baik.

“Ibu Zayn Rayyan sihat, cuma dia kurang bercakap, mungkin masih berada dalam keadaan terkejut selepas tujuh hari ditahan reman,” katanya.

Beliau berharap, siasatan dapat dijalankan secara telus dan adil agar keadilan terhadap Zayn Rayyan dapat dicapai.

Sementara itu, seorang lagi peguam, Fahmi Abd Moin berkata, pembelaan akan memohon kepada mahkamah supaya dapat berjumpa dengan kedua-dua suspek ini.

Terdahulu pasangan itu yang memakai baju lokap berwarna ungu, dibawa ke mahkamah pada jam 9.30 pagi, selepas tempoh reman tujuh hari bermula 1 Jun lalu, tamat pada Jumaat.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Artikel Berkaitan:

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!