RM70 juta tubuhkan MPKKP di negeri pembangkang: Rina

Rina (tengah) menyampaikan watikah pelantikan MPKKP peringkat Terengganu di Kuala Terengganu.
Rina (tengah) menyampaikan watikah pelantikan MPKKP peringkat Terengganu di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM70 juta bagi menubuhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) di lima buah negeri pembangkang.

Jumlah itu melibatkan penubuhan sebanyak 8,587 MPKKP dengan keseluruhan seramai 111,631 anggota di lima negeri melibatkan Terengganu, Kelantan, Pahang, Perlis dan Sarawak.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, peruntukan itu melibatkan pembayaran elaun kepada pengerusi dan setiausaha, selain sebanyak 13 biro yang dilantik.

Menurutnya, elaun sebanyak RM500 diperuntukkan kepada pengerusi, manakala setiausaha menerima peruntukan elaun sebanyak RM300 setiap bulan.

"Sebanyak RM50 juta pula diperuntukkan bagi menyediakan geran pelaksanaan aktiviti atau program di kampung.

"Setiap MPKKP boleh mengemukakan permohonan geran tidak melebihi RM10,000 untuk program yang berkaitan dengan ekonomi penduduk, kesejahteraan dan keceriaan kampung," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan watikah kepada 1,046 MPKKP di Terengganu semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang juga merupakan Penyelaras MPKKP Terengganu.

Sementara itu, ditanya jaminan sama ada pelantikan MPKKP tidak berunsur politik, Rina berkata, ia bagi memastikan rakyat mendapat saluran maklumat secara lebih telus.

Artikel Berkaitan:

"Selama lebih kurang dua tahun ini banyak maklumat dan peruntukan yang disalurkan menerusi MPKK peringkat negeri tidak disampaikan sepenuhnya kepada rakyat.

"Jadi, pelantikan ini dibuat bagi memastikan maklumat dan dasar kerajaan disampaikan hingga ke peringkat akar umbi, selain membantu kerajaan merancang pembangunan pada peringkat kampung," katanya.