Lelaki Australia disyaki dijangkiti virus misteri

Pada tahun lalu, jumlah pelancong China ke Australia mencecah lebih sejuta orang. - Foto Agensi
Pada tahun lalu, jumlah pelancong China ke Australia mencecah lebih sejuta orang. - Foto Agensi
A
A
A

SYDNEY - Seorang lelaki di Australia kini dikuarantin selepas menunjukkan simptom virus seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dalam kes pertama yang disyaki berlaku di negara itu.

Menurut Pegawai perubatan Queensland, Jeannette Young, lelaki itu baru sahaja kembali dari bandar Wuhan, China baru-baru ini dan sedang berehat di rumahnya di timur laut bandar Brisbane.

Pihak berkuasa kesihatan sedang menunggu keputusan ujian untuk menentukan sama ada pesakit terbabit menghidap virus korona baharu itu.

Difahamkan, berita tentang kes pertama yang disyaki di Australia tular selepas negara itu mengumumkan akan mengetatkan pemeriksaan kesihatan untuk pelancong yang tiba di Sydney dari Wuhan bermula Khamis ini.

Ketua pegawai perubatan Australia, Brendan Murphy berkata, program penyaringan juga boleh diperluaskan ke penerbangan lain dari China yang membawa sebahagian besar penumpang dari Wuhan.

"Adalah penting untuk mengenal pasti mereka yang berisiko tinggi dan memastikan mereka tahu bagaimana untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, tiada cara untuk mencegah virus masuk ke negara ini jika penularannya semakin besar," katanya.

Murphy turut memberitahu risiko wabak kepada rakyat Australia agak rendah dan masih tiada keperluan untuk mengeluarkan amaran. - AFP

Artikel Berkaitan: