X

Kindly register in order to view this article
!

Kekang Syiah: Segerakan persidangan ulama antarabangsa

KIRA-KIRA 200 orang menghadiri konvensyen K-iSDC 2020 di Putrajaya baru-baru ini bagi melipat gandakan usaha menyedarkan masyarakat tentang bahaya ajaran Syiah.
A
A

RESOLUSI Konvensyen Ilmu Sunnah Dot Com (K-iSDC) 2020 Peringkat Kebangsaan mencadangkan agar satu persidangan ulama Ahli Sunah Waljamaah di peringkat antarabangsa di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dianjurkan segera.

Ia merupakan antara usaha untuk mengekang ajaran Syiah di negara ini.

Dalam satu kenyataan media dikeluarkan K-iSDC baru-baru ini, penganjuran persidangan itu dicadangkan diadakan di Malaysia bagi membincangkan tajuk-tajuk utama berkaitan bahaya ajaran Syiah.

Selain itu, K-iSDC yang dianjurkan Pertubuhan Ilmu Sunnah Dot Com dengan kerjasama Pertubuhan IImuan Malaysia turut mengemukakan lima lagi resolusi lain bagi membendung gerakan Syiah.

"Resolusi itu antara lain mempersembahkan harapan tinggi kepada Majlis Raja-Raja untuk mengambil langkah sewajarnya. Bukan itu sahaja, resolusi itu turut menggesa jabatan-jabatan agama negeri dan pihak kerajaan persekutuan agar menyebar luas kempen bagi meningkatkan kesedaran akan kesesatan dan bahaya Syiah.

"Mereka juga sepakat menyeru kerajaan Malaysia agar terus bersama dengan negara-negara Islam untuk memperkukuhkan kesatuan umat Islam di bawah payung OIC yang diketuai oleh Arab Saudi serta berwaspada daripada bekerjasama dengan pihak-pihak yang mempunyai agenda untuk memporak-perandakan kesatuan berkenaan," kata kenyataan tersebut.

Bertemakan 'Waspada dengan Syiah 2.0', K-iSDC 2020 yang diadakan di sebuah hotel di Putrajaya baru-baru ini, ia adalah kesinambungan daripada penganjurannya pada tahun 2015 dengan tema yang sama.

Pada konvensyen yang dihadiri seramai 200 orang itu, sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan. Program membabitkan panel terkemuka seperti Dr Fathul Bari Mat Jahya, Dr Fadlan Mohd Othman dan Ustaz Idris Sulaiman.

Program tersebut dirasmikan oleh Atase Agama Kedutaan Arab Saudi, Syaikh Abdul Rahman Ibrahim Al-Rubai'an.