Najib tak pernah ambil tindakan terhadap pengurusan 1MDB - Pegawai penyiasat

Najib - Foto: Bernama
Najib - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pihak pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun terdapat banyak tanda amaran yang ditunjukkan oleh mereka semasa berkhidmat dalam syarikat pelaburan strategik negara itu.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penguasa Kanan, Nur Aida Ariffin, 37, berkata, Najib selaku Perdana Menteri, Pengerusi Lembaga Penasihat dan Menteri Kewangan yang memiliki sepenuhnya 1MDB melalui Kementerian Kewangan Diperbadankan ketika itu tahu tentang tindakan pihak pengurusan yang tidak mematuhi tadbir urus baik namun tidak mengambil sebarang langkah untuk menghentikannya.

Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib semasa perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram Najib membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Nur Aida juga berkata, Najib mempunyai kuasa penuh dalam 1MDB untuk memecat petugasnya berdasarkan Memorandum & Artikel Persatuan (M&A) syarikat.

Ahmad Akram: Ada sesiapa dalam pasukan pengurusan yang dipecat oleh Datuk Seri Najib? Mohd Hazem Abdul Rahman dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB), Jasmine Loo (bekas peguam 1MDB), Tan Sri Ismee Ismail (bekas Pengarah Bukan Eksekutif) dan Tan Sri Mohd Bakke Salleh (bekas Pengerusi).

Nur Aida: Tiada siapa.

Ahmad Akram: Pihak pembelaan telah mencadangkan bahawa semua tindakan pihak pengurusan inilah yang menyebabkan dana 1MDB diselewengkan. Berdasarkan siasatan kamu, siapakah yang mendapat manfaat daripada tindakan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan 1MDB?

Nur Aida: Datuk Seri Najib.

Artikel Berkaitan:

Pada prosiding hari ini, Nur Aida turut membacakan kenyataan bekas Perdana Menteri itu yang direkodkan oleh SPRM pada 2018 semasa siasatan terhadap 1MDB selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Berdasarkan petikan itu, Najib berkata beliau pada mulanya menyimpan sebahagian dana yang didakwa diterima dari Arab Saudi sebagai pelan kontingensi selepas Pilihan Raya Umum ke-13 bagi menghalang cubaan pembangkang menggulingkan kerajaan.

"Baki selepas pilihan raya umum saya simpan sementara dalam akaun sebagai simpanan luar jangka jika ada keperluan khas seperti insiden 16 Sept 2008, insiden Ahli Parlimen BN (Barisan Nasional) dicuri, ketika pembangkang cuba membeli mereka.

"Oleh itu, saya terpaksa bersedia secara kewangan walaupun saya tidak bersetuju dengan amalan ini kerana takut kemungkinan pembangkang cuba lagi.

"Bagaimanapun, apabila tiada pergerakan sedemikian berlaku, saya rasa ada keperluan untuk kembalikan ia kepada orang yang memindahkan wang ke dalam akaun saya iaitu seseorang yang dilantik oleh Arab Saudi, Tanore Finance Corp,” kata Nur Aida ketika membacakan kenyataan Najib.

Saksi itu berkata sehingga hari ini, bekas Perdana Menteri itu tidak pernah membuat sebarang laporan kepada mana-mana pihak mengenai dakwaan tandatangan beliau dipalsukan seperti dibangkitkan oleh pembelaan iaitu dokumen kelulusan pinjaman oleh 1MDB adalah berbeza.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!