Bicara 1MDB babit Najib selesai hari ini

Najib (tengah) hadir bagi perbicaraan kes 1MBD di Mahkamah Tinggi pada Khamis. Foto Bernama
Najib (tengah) hadir bagi perbicaraan kes 1MBD di Mahkamah Tinggi pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Selepas enam tahun Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa, kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akhirnya tamat di Mahkamah Tinggi di sini, pada Khamis.

Ia selepas pihak pendakwaan menutup kes berkenaan sejurus semua 50 individu selesai memberi keterangan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Prosiding di peringkat pendakwaan bermula pada 28 Ogos 2019 dan ia berlangsung selama 235 hari.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, pihak pendakwaan menutup kes apabila semua saksi selesai memberikan keterangan.

"Saya ingin memaklumkan kepada mahkamah bahawa, tiada lagi saksi yang perlu dipanggil atau perlu disoal balas.

"Saya dengan ini, menutup kes pendakwaan selepas 235 hari perbicaraan yang memakan masa dan mendengar keterangan puluhan saksi pendakwaan," katanya.

Beliau kemudiannya menawarkan seramai 49 orang saksi kepada pembelaan yang mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan tersebut.

Antara saksi itu ialah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Artikel Berkaitan:

Saksi pendakwaan ke-50, bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan yang sebelum ini melarikan diri ke luar negara dan kemudian menyerah diri kepada pihak berkuasa pada 7 Julai tahun lalu, merupakan saksi terakhir dipanggil.

Pendakwaan sebelum ini juga menyatakan, wanita berkenaan akan menjadi saksi penting bagi mendedahkan isu berkaitan Tanore Finance Corporation, iaitu entiti yang didakwa memindahkan AS$681 juta ke akaun bank bekas pemimpin UMNO ini.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan), kemudiannya mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 26 Julai dan hujahan balasan masing-masing pada 9 Ogos ini, dengan hujahan lisan ditetapkan pada 19 hingga 22 Ogos.

Mengikut pertuduhan pindaan, Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan hampir RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi 21 pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pada 20 September 2018, bekas Presiden UMNO ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini dan ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2018.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!