'Jika semua selesai hari ini, esok saya akad nikah'

Mohd Azlan (dua dari kiri) dan Norhidayu ketika ditemui di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah pada Selasa.
Mohd Azlan (dua dari kiri) dan Norhidayu ketika ditemui di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Pasangan tular membawa bayi lelaki berusia 11 bulan memakai alat bantuan pernafasan dengan menaiki motosikal baru-baru ini mengakui tertekan dengan dakwaan sesetengah pihak bahawa mereka telah menghilangkan diri.

Mohd Azlan Ishak, 36, ketika dihubungi Sinar Harian menjelaskan, dia sebaliknya sedang menguruskan urusan pernikahan dalam tempoh beberapa hari ini.

Menurutnya, pada Ahad, dia telah ke Masjid Al-Makrufi di Alor Setar, Kedah untuk memohon bantuan mengisi borang pernikahan dan pada Isnin pula ke klinik untuk menjalani ujian darah dan saringan HIV.

"Jika semua selesai hari ini (Isnin), esok saya akan akad nikah dengan pasangan.

"Pihak masjid cakap jika urusan semua selesai awal, urusan akad nikah dapat disegerakan, alhamdulillah,” katanya pada Isnin.

Jelasnya, ramai pihak tampil untuk membantu memudahkan urusan pernikahan bersama pasangannya, Nor Hidayu Halim, 34, dan kini berada pada fasa akhir.

Mengulas lanjut, Mohd Azlan mengakui walaupun telah melakukan kesilapan, namun berharap agar masyarakat tidak menghakimi dan memberikan pandangan negatif kepada mereka sekeluarga termasuk anaknya yang turut menghidap penyakit kronik.

Mohd Azlan turut menegaskan bahawa dia tidak meninggalkan ibunya sendirian sebagaimana dakwaan segelintir pihak.

Artikel Berkaitan:

“Pada satu tahap memang saya rasa nak ‘down’ tapi saya perlu terima dan gagahkan diri.

"Benda yang tidak berlaku mereka buat anggapan yang bukan-bukan.

“Datang jumpa sendiri kami dan tengok keadaan sebenar.

"Saya tidak marah jika orang tanya dan saya akan berterus-terang. Jangan buat anggapan sendiri.

"Ada yang kata saya tinggalkan ibu yang sedang sakit, walaupun saya tidak belajar pandai tapi saya masih ada akal dan tidak akan tinggalkan ibu saya.

”Saya perlu sabar demi anak saya kerana sebelum ini saya sangat susah.

"Sebelum ini saya tidak ada apa-apa selain zuriat saya yang berada di hadapan mata ini,” katanya pada Isnin.

Dalam pada itu, Azlan berkata, Nor Hidayu sudah pun bercerai dengan bekas suaminya pada Ogos 2023 dan selesai menamatkan tempoh idah.

Jelasnya, mereka sudah pergi ke pejabat agama untuk memfailkan penceraian, namun proses tergantung kerana tidak mampu membayar RM60 bagi melengkapkan borang cerai akibat kesempitan hidup.

Menjawab tentang dakwaan Nor Hidayu telah membeli barangan kemas dengan harga mencecah RM20,000, Azlan menafikan perkara berkenaan.

“Saya tidak tahu dari mana mereka dapat info sedemikian kerana Nor Hidayu hanya beli sebentuk cincin RM800 sahaja bagi tujuan kahwin dan bakal emak mentua yang belikan dan ada resit.

"Mereka juga dakwa anak kami telah terima sumbangan sehingga RM200,000.

"Saya pun tidak tahu jumlah itu datang dari mana sebab saya tak periksa bank lagi.

"Sekarang kami masih guna duit sumbangan orang yang datang beri di rumah sahaja,” jelasnya lagi.

Pada Ahad, pasangan tular yang membawa bayi lelaki berusia 11 bulan memakai alat bantuan pernafasan dengan menaiki motosikal baru-baru ini akan dinikahkan dalam masa terdekat.

Pengerusi Qariah Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Muhammad Hazamer Mualim berkata, lelaki berusia 36 tahun itu hadir ke pejabatnya di masjid berkenaan pada 3 petang untuk menyerahkan dokumen berkaitan pernikahannya.

Menurutnya, beberapa dokumen diserahkan lelaki tersebut bagi mengisi borang pernikahan bersama pasangannya yang berusia 35 tahun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!