Polis siasat anggota tentera bergaduh di stadium

Dalam video berdurasi 17 saat itu kelihatan berlaku insiden tolak-menolak dan tumbuk melibatkan sekumpulan lelaki di pekarangan luar stadium. Gambar kecil: Mohamed Nordin
Dalam video berdurasi 17 saat itu kelihatan berlaku insiden tolak-menolak dan tumbuk melibatkan sekumpulan lelaki di pekarangan luar stadium. Gambar kecil: Mohamed Nordin
A
A
A

MANJUNG - Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) cedera di kepala dan bahagian muka dalam pergaduhan semasa perlawanan bola sepak di sini pada Isnin lalu.

Kejadian sekitar jam 7.15 malam itu berlaku di Stadium Pangkalan TLDM Lumut melibatkan perlawanan antara Unit Markas Pangkalan TLDM Lumut (MKPL) dan Pasukan Khas Laut (Paskal).

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, makluman kejadian itu diterima daripada anggota terbabit yang membuat laporan polis pada Selasa.

Menurutnya, mangsa berusia 26 tahun mendakwa dipukul secara tiba-tiba oleh penyokong pasukan Paskal berkenaan secara beramai-ramai.

"Kejadian itu dikatakan berlaku apabila penyokong terbabit tidak berpuas hati dan menuduh mangsa ada memberi isyarat jari tengah kepada mereka.

"Bagaimanapun perkara itu dinafikan mangsa," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, anggota terbabit mengalami kecederaan di bahagian muka, rusuk kanan, leher dan kepala.

Katanya, keadaan lelaki itu stabil dan telah menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan. Semua pihak diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Nazari Yaakob di talian 017-5729646 bagi membantu siasatan.

Video pergaduhan itu turut tular di media sosial sejak Selasa.

Dalam video berdurasi 17 saat itu kelihatan berlaku insiden tolak-menolak dan tumbuk melibatkan sekumpulan lelaki di pekarangan luar stadium.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!