Tapak pembinaan simpan minyak diesel tanpa permit diserbu

Lima anggota penguat kuasa KPDN Terengganu melakukan serbuan ke atas tapak projek pembinaan simpan minyak diesel tanpa permit. Foto KPDN Terengganu
Lima anggota penguat kuasa KPDN Terengganu melakukan serbuan ke atas tapak projek pembinaan simpan minyak diesel tanpa permit. Foto KPDN Terengganu
A
A
A

DUNGUN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas sebanyak 13,000 liter minyak diesel dan sebuah skid tank dengan anggaran nilai keseluruhan RM62,800 di sebuah tapak projek pembinaan di sini pada Rabu.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, serbuan dilakukan lima anggota penguat kuasa KPDN Terengganu bersama lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada kira-kira jam 4 petang itu merupakan hasil risikan yang telah dilakukan selama dua minggu.

Menurutnya, seorang lelaki warga tempatan iaitu penyelia tapak pembinaan berumur lingkungan 60 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

"Pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati pihak syarikat pembinaan tersebut gagal mengemukakan sebarang permit atau surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan minyak diesel di lokasi kejadian.

"Dianggarkan 13,000 liter minyak diesel di dalam skid tank ditempatkan di tapak pembinaan tersebut," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Sebanyak 13,000 liter minyak diesel dan sebuah skid tan dirampas. Foto KPDN Terengganu
Sebanyak 13,000 liter minyak diesel dan sebuah skid tan dirampas. Foto KPDN Terengganu

Mengulas lanjut, Saharuddin berkata, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Justeru, beliau berkata, pihaknya ingin memberikan amaran keras kepada semua yang berkaitan selain menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Individu, syarikat atau pengusaha-pengusaha stesen minyak diingatkan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

"Masyarakat juga disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutama berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi tersebut.

"KPDN juga sentiasa menggerakkan anggota penguat kuasa di lapangan selain meningkatkan aktiviti penguatkuasaan serta pemantauan bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibendung daripada terus berleluasa," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!