Lebih 13,000 liter minyak diesel subsidi dirampas

Sebahagian rampasan minyak diesel bersubsidi yang dilaksanakan KPDN menerusi Ops Tiris 3.0 pada minggu lalu.
Sebahagian rampasan minyak diesel bersubsidi yang dilaksanakan KPDN menerusi Ops Tiris 3.0 pada minggu lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 13,300 liter minyak diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris 3.0 pada minggu lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan dilakukan di dua lokasi berasingan di Changlun dan Bukit Kayu Hitam, Kedah, yang disyaki dijadikan stor haram tempat penyimpanan serta pemindahan minyak diesel bersubsidi.

Menurutnya, serbuan yang dilakukan serentak oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bermula pada jam 11.40 malam itu menemukan minyak diesel serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan.

Jelas Azman, modus operandi sindiket tersebut adalah mengisi minyak diesel dari beberapa stesen minyak di sekitar dua kawasan itu dengan menggunakan lori yang diubahsuai untuk dibawa ke lokasi serbuan bagi menyimpan serta memindahkannya sebelum dijual di pasaran gelap.

"Sebuah lori, beberapa buah tangki jenis Intermediate Bulk Containers (IBC) berisi minyak diesel, pam bermotor, paip penyambung, minyak diesel, dokumen berkaitan serta peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan disita bagi tujuan siasatan lanjut.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM75,745.00.

"Siasatan lanjut ke atas kes ini dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel diperolehi dan diedarkan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Azman berkata, sembilan lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pekerja di kedua-dua premis terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, tindakan akan diambil menerusi Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, sekiranya sabit kesalahan melibatkan syarikat, mereka boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

"Selain didenda, syarikat terbabit juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

"Ia merupakan kesalahan penggubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

"Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini, mereka boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan yang dilakukan atau RM5 juta ringgit yang mana yang lebih tinggi," katanya.

Ujar Azman, KPDN juga ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak kementerian melalui WhatsApp kepada 019-848 8000 atau 019-279 4317, portal e-Aduan KPDN di http://eaduan.kpdn.gov.my, call centre 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.