Kahwin di Thailand: Jangan biar anak jadi mangsa

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

ENGGAN memberitahu isteri pertama menjadi faktor utama kebanyakan suami di negara ini memilih untuk bernikah di luar negara terutamanya selatan Thailand.

Selain itu, terdapat juga sebilangan pasangan yang tidak mahu memaklumkan kepada keluarga sebelah isteri kedua terutama wali kerana bimbang perkahwinan itu tidak direstui dan dipersetujui.

Pernikahan di luar negara bukan sahaja akan menyusahkan pasangan itu, malah turut memberi masalah kepada anak pasangan terbabit seandainya ia tidak didaftarkan dengan jabatan agama di negara ini, walaupun pernikahan itu sah di sisi Islam.

Antara masalah utama ialah anak pasangan terbabit sukar untuk didaftarkan kelahirannya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hingga menyebabkan mereka tidak mempunyai sijil kelahiran.

Berdasarkan rekod, empat negeri yang bersempadan dengan Malaysia-Thailand iaitu Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah dikenal pasti antara negeri tertinggi mempunyai masalah mendaftarkan kelahiran anak disebabkan ‘perkahwinan tidak teratur’.

Ketiadaan sijil lahir akan memberi implikasi yang besar terutamanya kepada kanak-kanak yang mana mereka akan terpinggir daripada mendapat bantuan kerajaan dari segi pendidikan dan kesihatan.

Kanak-kanak yang tiada sijil lahir misalnya akan menghadapi masalah untuk bersekolah di sekolah milik kerajaan atau perlu membayar yuran mengikut kadar bagi warga asing.

Begitu juga mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital milik kerajaan, caj yang bakal dikenakan tentunya mengikut kadar warga asing sedangkan mereka sebenarnya warga tempatan.

Artikel Berkaitan:

Apabila anak pasangan terbabit dewasa pula, mereka juga tidak mempunyai hak untuk mengundi ketika pilihan raya mahupun bekerja di perkhidmatan awam.

Syarikat swasta juga tentunya mengutamakan pekerja yang memiliki MyKad dan bukannya mereka yang status kewarganegaraannya boleh diragui.

Majikan juga tentunya tidak mahu mengambil risiko ditahan Jabatan Imigresen dengan menggaji pekerja yang tiada pengenalan diri.

Urusan perkahwinan anak ini juga akan bermasalah.

Jika ibu bapa mereka merahsiakan perkahwinan, tidak mustahil mereka bercinta atau lebih buruk berkahwin dengan adik-beradik sendiri.

Jika sayangkan masa depan anak, usah bernikah di luar negara.

Jika tidak dapat dielakkan, daftar pernikahan di pejabat agama di dalam negara secepat mungkin sebaik sahaja pulang ke Malaysia.

Jangan jadikan anak mangsa hanya kerana kepentingan diri sendiri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!