Permohonan Rosmah masukkan kerajaan, polis dalam saman ditolak

Rosmah (kiri). Foto Bernama
Rosmah (kiri). Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk memasukkan kerajaan dan polis sebagai pihak ketiga dalam kes saman syarikat barangan kemas Lebanon, Global Royalty Trading SAL terhadapnya berhubung kehilangan lebih 40 barang kemas.

Peguam Reza Rahim berkata, Hakim Ong Chee Kwan tidak membenarkan permohonan anak guamnya atas alasan polis dan kerajaan tidak melakukan sebarang perbuatan salah dalam kes itu dan tidak mempunyai kewajipan atau tanggungjawab terhadap Rosmah.

"Bagaimanapun Datin Seri Rosmah bebas memfailkan saman sivil baharu terhadap sebarang kerugian yang mungkin dialaminya akibat tindakan polis dan kerajaan Malaysia secara berasingan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, beliau telah diarahkan untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan.

Reza berkata, mahkamah turut menetapkan 2 Ogos depan untuk pengurusan kes selanjutnya dan 2 Jun hingga 6 Jun ini sebagai tarikh perbicaraan bagi saman utama.

Pada 29 Mac lepas, Global Royalty menyaman Rosmah dan mendakwa wanita itu telah berbohong dengan menyatakan bahawa 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan seorang ejen syarikat itu kepadanya telah dirampas pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut syarikat yang berpangkalan di Beirut itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa.

Global Royalty juga mendakwa Rosmah mengalihkan beban kepada kerajaan Malaysia sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.

Syarikat itu pada mulanya menyaman Rosmah pada 26 Jun 2018 dan menuntut wanita berkenaan memulangkan kembali 44 unit barangan kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun saman itu ditarik balik pada 2019. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!