Gigit lengan polis, penganggur didenda RM2,000

Tertuduh (tiga dari kanan) didenda RM2,000 selepas mengaku salah menghalang penjawat awam menjalankan tugas dengan menggigit lengan anggota polis, Sabtu lalu.
Tertuduh (tiga dari kanan) didenda RM2,000 selepas mengaku salah menghalang penjawat awam menjalankan tugas dengan menggigit lengan anggota polis, Sabtu lalu.
A
A
A

REMBAU - [DIKEMAS KINI] Seorang penganggur didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah menghalang tugas penjawat awam dengan menggigit lengan seorang anggota polis, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Azli Kamarudin, 37, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.

Tertuduh turut berdepan hukuman lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh pada 25 April lalu, jam lebih kurang 1.15 tengah hari di sebuah rumah di Chembong, Rembau telah menghalang penjawat awam iaitu seorang anggota polis berpangkat Detektif Koperal dengan menggigit bawah lengan tangan kanannya daripada menjalankan fungsi awamnya.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau dengan denda yang boleh sampai RM10,000 atau dengan kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, tertuduh turut dikenakan denda RM2,500 selepas mengaku bersalah memberi kepada diri sendiri dadah jenis Morphine pada tarikh sama jam lebih kurang 2.30 petang di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau.

Dia juga dikenakan dua tahun pengawasan polis selain berdepan hukuman lapan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen dan akta yang sama.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, hari kejadian tertuduh enggan memberikan kerjasama ketika polis menjalankan serbuan di rumahnya di Chembong dengan memarahi pasukan serbuan sebelum bertindak melarikan diri ke arah dapur.

Tertuduh kemudiannya berjaya ditahan namun semasa proses tangkapan, dia bertindak agresif dengan menggigit bawah lengan tangan kanan seorang Detektif Koperal.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!