Penjawat awam dapat insentif awal RM2,000 - PM

Anwar
Anwar
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) kepada semua penjawat awam termasuk pesara akan disalurkan secara sekali gus pada 23 Februari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bayaran berkenaan bagi meringankan beban persediaan persekolahan serta persiapan menjelang Ramadan dan Syawal.

"Bayaran Insentif Awal RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam.

"Bayaran RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua pesara Kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini pada Selasa.

Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Dalam pada itu Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, kerajaan tidak hanya membela nasib penjawat awam sebaliknya setiap peringkat dalam masyarakat turut menjadi fokus utama.

Beliau berkata, ia dibuktikan apabila kerajaan menambah peruntukan untuk setiap skim dan bantuan tunai kepada rakyat secara keseluruhannya.

"Kadang kala kita salah faham bila bincang umpamanya ada penambahan (insentif) dalam satu-satu sektor.

Artikel Berkaitan:

"Itu tidak benar sebaliknya kerajaan tumpu setiap sektor termasuk pekebun kecil, orang kurang upaya (OKU), nelayan dan sebagainya.

"Kita tahu orang bising tentang insentif pengeluaran getah, malah kita naikkan kadarnya dari RM2.70 pada 2023 kepada RM3 tahun ini membabitkan peruntukan sebanyak RM400 juta, khusus untuk tambahan," ujarnya.