Wajibkah suami tanggung kos haji isteri?

KETAHUI pandangan Islam sama ada suami perlu atau tidak untuk menanggung kos haji bagi isteri. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
KETAHUI pandangan Islam sama ada suami perlu atau tidak untuk menanggung kos haji bagi isteri. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
A
A
A

SEMUA sedia maklum tentang kewajipan ibadah haji bagi umat Islam yang berkemampuan. Perkara paling diutamakan sudah tentulah bab kewangan bagi mereka yang ingin menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Bercakap tentang hal itu, jika diteliti kebanyakan jemaah yang pergi pasti berpasangan. Lazimnya suami akan mengerjakan haji bersama isteri masing-masing.

Jarang sekali kita melihat pasangan tersebut pergi berasingan melainkan terdapat sebab-sebab tertentu.

Timbul persoalan, adakah suami perlu menanggung kos haji isterinya? Adakah perkara itu termasuk dalam nafkah yang wajib ke atas ‘ketua keluarga’ berkenaan?

Sebelum menghuraikan jawapannya, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengajak kita untuk mendasari hukum-hakam berkaitan ibadah haji.

DR ZULKIFLI
DR ZULKIFLI

Jelas beliau, haji merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim mukalaf.

Artikel Berkaitan:

“Setiap Muslim mesti menanam di dalam hati dan berazam untuk menunaikannya serta setiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah ALLAH tersebut.

“Hal itu kerana, menurut Syeikh Al-Maraghi ketika mentafsirkan ayat ke-97 Surah Ali Imran yang menerangkan kewajiban ibadah haji menyatakan, perintah haji merupakan suatu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim AS hinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW.

“Pelaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda serta bukti pengabdian setiap hamba kepada Pencipta-NYA,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #2847: Adakah Suami Perlu Menanggung Kos Haji Isteri yang disiarkan di laman web Maktabah Albakri.

Menyambung hujah, Zulkifli menjelaskan, para ulama bersepakat ibadah haji merupakan satu kefarduan.

“Tiada seorang pun dalam kalangan mereka (para ulama) yang berpendapat sebaliknya.

IBADAH haji difardukan ke atas setiap Muslim yang berkemampuan sama ada secara fizikal mahupun material. -Foto: Canva
IBADAH haji difardukan ke atas setiap Muslim yang berkemampuan sama ada secara fizikal mahupun material. -Foto: Canva

“Bahkan, dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, mereka menghukumkan kafir kepada yang mengingkari sesuatu yang telah ditetapkan dalam al-Quran, as-Sunnah dan ijmak,” katanya.

Dari segi kemampuan pula, agamawan itu menjelaskan, Dr Wahbah Al-Zuhaili menyatakan bahawa ia merangkumi kemampuan dari aspek fizikal dan material.

“Ibadah haji adalah fardu ke atas setiap Muslim selagi mana tidak ada padanya halangan untuk sampai ke Tanah Haram Makkah sama ada dari segi hambatan bersifat fizikal atau material atau kedua-duanya.

“Halangan dari segi fizikal seperti sakit, takut dan risaukan keselamatan diri daripada musuh atau haiwan buas iaitu perjalanan tidak selamat, manakala contoh halangan material adalah tiada bekalan dan kenderaan untuk ke Tanah Suci.

“Sementara itu, rintangan dari segi fizikal dan material pula adalah seperti tiada bekalan dan kenderaan serta pada masa sama sedang sakit atau laluan perjalanan tidak selamat,” katanya.

Diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memiliki bekalan (biaya perbelanjaan) dan kenderaan yang boleh digunakan untuk pergi ke Baitullah, tetapi dia tidak menunaikan ibadah haji, maka tidak ada beza bagi dirinya antara mati dalam keadaan sebagai seorang Yahudi atau Nasrani. Hal ini kerana ALLAH SWT telah berfirman di dalam al-Quran (yang bermaksud): ‘Dan ALLAH mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya’.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Seandainya isteri tidak berkemampuan menanggung kos haji sendiri, Zulkifli menjelaskan, tidak wajib bagi mereka melaksanakan ibadah berkenaan kerana dirinya tidak memenuhi syarat diwajibkan haji iaitu berkemampuan.

“Oleh yang demikian, tidak wajib ke atas suami menanggung kos haji isteri. Namun, sekiranya suami berbesar hati untuk menampung kos haji isteri, maka itulah yang terbaik,” katanya.

Ia selari dengan pandangan Syaikh Abdul Karim Zaidan dalam isu tersebut yang menyatakan: “Bukanlah hak isteri ke atas suaminya untuk memikul perbelanjaan haji baginya atau berkongsi dalam perbelanjaan tersebut.”

WALAUPUN tidak wajib ke atas suami untuk menanggung kos haji isteri, tetapi sekiranya suami berbesar hati untuk menampung kos haji isteri, maka itulah yang terbaik. -Foto: Canva
WALAUPUN tidak wajib ke atas suami untuk menanggung kos haji isteri, tetapi sekiranya suami berbesar hati untuk menampung kos haji isteri, maka itulah yang terbaik. -Foto: Canva

Begitu juga dengan pendapat Al-Albani ketika ditanyakan tentang perkara tersebut yang mana beliau menjawab: “Tiada kewajipan ke atas suami untuk membayar perbelanjaan haji isterinya. Ini berkenaan dengan lelaki. Manakala bagi wanita, jika dia mempunyai wang yang cukup untuk melaksanakan haji, maka haji menjadi wajib ke atasnya, tetapi jika dia tidak mempunyai cukup wang, haji tidak menjadi wajib ke atasnya.”

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!