Sorok 5.7kg ekstasi dalam bungkusan serbuk minuman

Antara dadah jenis ekstasi diletak dalam bungkusan serbuk minuman yang dirampas.
Antara dadah jenis ekstasi diletak dalam bungkusan serbuk minuman yang dirampas.
A
A
A

KOTA KINABALU - Taktik pengedar dadah menyembunyikan 5.7 kilogram (kg) ekstasi dalam bungkusan serbuk minuman terbongkar apabila dadah berkenaan berjaya dirampas dalam dua serbuan berasingan di Kota Kinabalu dan Penampang pada Isnin.

Dalam serbuan dijalankan, tiga lelaki berjaya ditahan selepas didapati memiliki dadah dipercayai untuk diedar sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, dalam serbuan pertama di dalam sebuah kenderaan di hadapan kawasan pangsapuri, dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan.

"Pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui tiga peket plastik bergambar kartun 'crazy frog' yang mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi dan dua lagi bungkusan dadah jenis ketamin.

"Di ruangan brek tangan kereta turut ditemui satu bekas penutup mengandungi sekeping besi serta penyedut minuman yang diubahsuai disyaki digunakan untuk menagih dadah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kedua-dua suspek mengakui barang larangan itu milik mereka selain turut mendedahkan satu lagi lokasi tempat penyimpanan dadah.

"Berdasarkan maklumat soal siasat pada jam 11.40 malam, serbuan dibuat di sebuah tempat parkir kenderaan di sebuah bangunan perumahan di Penampang dan berjaya menahan seorang lagi suspek lelaki.

"Hasil pemeriksaan menemui lima peket bungkusan bertulis 'melon' disyaki ekstasi bersama kunci rumah.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dadah yang sama di rumah suspek dan anggaran keseluruhan berat dadah yang ditemui sebanyak 5.7kg.

"Dadah tersebut dibungkus dengan plastik serbuk minuman dipercayai untuk mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksen 39B dan 39A(1) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!